Selepas kejayaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ‘Tonton Gen+ Suai Kenal Sekolah’ di SMK Ayer Keroh, Melaka, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad menerusi TV3, Tonton dan DIDIKTVKPM meneruskan lagi program tersebut di SMK Convent (M) Kajang pada hari ini.
Artikel Berkaitan: Bantuan Awal Persekolahan 2025: KPM Mulakan Agihan RM150 kepada Murid
Bantu tonjolkan bakat murid
Bertujuan meningkatkan kreativiti, interaksi, dan semangat murid-murid dalam menimba ilmu, ia menyediakan platform bagi murid untuk berinteraksi melalui pelbagai aktiviti menarik.
Program ini juga menggalakkan penglibatan komuniti, serta memberi peluang kepada mereka mengekspresikan diri dengan lebih yakin dan berani.
Menurut Pengarah Pemasaran Kreatif dan Komunikasi Rangkaian Televisyen Media Prima, Puan Farah Shamsudin berkata program ini bukan sahaja membawa elemen hiburan, tetapi juga membantu murid-murid menonjolkan potensi mereka.
Ia juga meningkatkan keyakinan diri, membolehkan mereka mengekspresikan diri, dan
mencungkil bakat terpendam yang mungkin belum mereka sedari.Secara tidak langsung, melalui perkongsian daripada selebriti yang hadir, program ini membimbing murid-murid dalam membina kerjaya masa hadapan mereka.
Kami berhasrat mencetuskan impak positif dalam kehidupan mereka serta mendorong mereka untuk terus yakin dan berusaha mencapai impian.
Bermula dari pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari, lebih 300 murid menyertai pelbagai aktiviti yang kreativiti dan kemahiran komunikasi, termasuk sesi perkongsian ilmu, ceramah pendidikan serta kesedaran kebersihan, dan rakaman kandungan video untuk platform digital TV3.
Tidak hanya itu, permainan eksplorasi Uji Bakat Drama, Uji Bakat Berita, Mix & Match dan Tic Tac Toe turut diadakan bagi menghiburkan para pelajar.
‘Sis Shay, Inspirasi Hijabi’
Sementara itu, Safi Shayla yang juga selaku rakan kongsi program ini, berkongsikan tips penjagaan rambut kepada pelajar hijabi tentang penjagaan rambut menerusi inisiatif ‘Sis Shay, Inspirasi Hijabi’.
Ia juga selari dengan usaha meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan diri dan keyakinan diri dalam kalangan remaja perempuan.
Murid-murid juga dapat menikmati aktiviti interaktif seperti sesi ‘Cergas+’, kuiz interaktif LED Q&A, persembahan sekolah, serta peluang bertemu dan beramah mesra dengan selebriti yang hadir seperti Nisa Kay, Saree Abdullah, Malia Baby, Imran Aqil, Nabil Aqil dan Aizat Saha.
Turut hadir dalam menjayakan program ini adalah Puan Nor Aishah binti Raduan, Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah (SISC+) Sains Sosial, PPD Hulu Langat dan Puan Ruzihan binti Jantan, Pengetua SMK Convent (M) Kajang.
Program ‘Tonton Gen+ Suai Kenal Sekolah’ ini diharapkan menjadi pemangkin dalam memperkasakan generasi muda masa kini.
Dengan sokongan pelbagai pihak, termasuk rakan kongsi seperti Safi Shayla dan kehadiran selebriti tempatan, program ini berpotensi mencetuskan perubahan positif dalam kehidupan murid-murid.