Susulan isu pelawak ditahan di Jeddah akibat memiliki dadah, pelakon Tony Eusoff mengimbas kembali pengalaman dipenjara selama lapan bulan pada 2016 akibat kesalahan sama.
Artikel Berkaitan: Pelawak Dipenjara Enam Bulan Di Jeddah
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Kalau Benar Apa Yang Berlaku, Aku Harap Along Berubah Sebab Dia Ada Anak & Isteri’ – Azrul Zaidi
Pengalaman dipenjara
Menyesali perbuatan tersebut, Tony atau nama sebenarnya Anthony Joseph anak Hermas Rajiman, 48, menyifatkan insiden itu sebagai peristiwa hitam dalam hidup dan berasa sedih kerana telah mengecewakan hati ibu tercinta.
Saya rasa sangat bersalah terhadap ibu saya. Masa nak peluk buat kali terakhir, waktu itu lah menitis air mata.
Untuk seorang anak tiada yang lebih menyedihkan hati apabila lihat mak sendiri menangis disebabkan apa yang kita buat. Perkara itu buat saya fikir perlu jadi lebih matang.
Tony berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemui di sidang media drama Din Tiger terbitan Unifi TV yang berlangsung di Hyatt Place Bukit Jalil, pada Khamis.
Penerimaan orang
Kongsi pelakon filem Baik Punya Cilok itu lagi, perasaannya bercampur baur mengenai penerimaan khalayak ramai selepas dia dibebaskan.
Ada yang cakap saya kena aniaya tapi itu adalah kesalahan dan kenakalan saya, tiada siapa boleh salahkan.
Jadi saya hanya harungi dan ‘masuk’ sahaja. Bila nak keluar, saya ada perasaan bercampur baur, risau dan gembira tentang penerimaan orang.
Tapi ada individu yang saya tak kenali datang dan bagi kata-kata semangat pada saya. Orang Malaysia mudah nak menyayangi dan memaafkan. Kita cuma perlu berusaha sedikit.
Jangan mudah hukum
Sementara itu, Tony turut menasihati orang ramai supaya tidak mudah menjatuhkan hukum terhadap orang lain yang berdepan situasi sama termasuk seorang pelawak terkenal yang ditahan di Jeddah, baru-baru ini.
Jangan cepat menilai, tunggu sehingga kes selesai. Mungkin mereka buat semua itu sebab terdesak.
Kita tak tahu apa masalah mereka hadapi, orang yang ambil ‘barang’ sebab mereka nak lepaskan tekanan. Tiada yang sukarela ambil. Mereka juga ada keluarga, tidak elok jatuhkan hukum.
Tunggu sampai kes selesai kemudian baru menilai. Lain manusia lain cabaran hidup mereka. Serahkan kepada undang-undang. Kita bukan Tuhan, kita tak baik mana dan jangan hakimi orang lain.
Pada April 2016, Mahkamah Singapura menjatuhkan hukuman lapan bulan penjara kepada Tony kerana memiliki dadah terkawal kelas A di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.
Aktor itu dipercayai memiliki satu paket bahan sayuran yang telah dianalisis didapati mengandungi kesan ganja.