berita

Tragedi ‘Dayang Topaz’ Di Miri, 125 Kru Terpaksa Terjun Kapal, Seorang Disahkan Maut

October 27th, 2020 | by Zulaikha
Kini Trending

Menerusi status Facebook Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia pihaknya mengesahkan menerima aduan dari kapal Sapura Construction yang menerima isyarat kecemasan dari kapal Dayang Topaz di posisi 7.7 batu nautika dari Kuala Baram, Miri.

Kapal mula karam

Foto: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

Ketika kejadian Kapal Sapura Construction telah bergerak ke lokasi kejadian bagi mengesan lokasi sebenar di mana kapal Dayang Topaz dilaporkan karam. Kejadian panik itu, menyebabkan 125 kru telah terjun ke laut, manakala lagi 62 kru masih berada di atas kapal.

Aset-aset bantuan telah segera bergerak ke lokasi yang merangkumi tiga kapal dan sebuah bot Maritim Malaysia di Miri bersama tujuh kapal dan bot milik syarikat Petronas dan Shell. Semua kru yang telah dijumpai telah diselamatkan oleh aset-aset bantuan dan kapal-kapal yang telah tiba di lokasi kejadian.

Pada kira-kira jam 8.45 pagi tadi, seramai 121 kru telah berjaya diselamatkan, namun seorang meninggal dunia dan empat lagi mangsa masih belum ditemui. Kini, pihak MRCC Putrajaya sedang giat melaksanakan koordinasi lanjut bagi mencari dan menyelamatkan empat lagi  kru dalam Operasi Carilamat kru Kapal Dayang Topaz yang masih hilang .

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengesahkan bahawa pada jam 9.29 pagi, empat kru yang hilang telah ditemui pada berhampiran lokasi kejadian dan mereka telah di bawa ke kapal-kapal yang terlibat di dalam operasi ini.

Punca kejadian

Foto: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Berdasarkan maklumat awal, punca kejadian adalah disyaki berpunca daripada salah satu kabel sauh Kapal Dayang Topaz yang terputus ekoran cuaca buruk. Tambahan pula, kapal tersebut tidak dapat dikawal lantas hanyut melanggar platfom pelantar minyak Beram.

Aset-aset yang terlibat KM Siagut, KM Siakap dan Bot Penggalang 23 kini berada di lokasi kejadian untuk memantau keselamatan mangsa dan aset-aset SAR yang berada di lokasi kejadian. Keadaan laut masih bergelora dengan ketinggian 3.5 ke 4 meter paras ketinggian.

Punca kejadian kini masih dalam siasatan.

Sumber: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

SKIP THIS AD ×