Pelakon Idris Khan tampil bersuara selepas penerbit terkenal, Datuk A Aida mendakwa dia melanggar penjanjian kontrak penggambaran sebuah drama terbitan A Aida Production, Sekali Lagi Cinta Kembali.
Artikel Berkaitan: A Aida Bakal Saman Amelia Henderson & Idris Khan, Tarik Diri Bagi Alasan Mengarut
Semua fitnah
Menerusi hantaran di Instagram (IG), Idris menegaskan dakwaan yang dilemparkan A Aida menerusi sidang media pada Jumaat adalah tidak berasas dan bersifat fitnah.
Kata Idris, 34, dia akan mengambil tindakan undang-undang bagi menegakkan kebenaran dan membersihkan semula namanya.
Merujuk kepada perkembangan semasa, saya merasa terkejut dan hairan. Namun begitu, adalah wajar bagi saya membuat kenyataan seperti berikut.
Pertama sekali, saya ingin mengucapkan alhamdulillah dan berterima kasih atas segala sokongan, dokongan dan kata-kata yang baik daripada anda semua.
Kedua, beberapa dakwaan dan tuduhan yang dilemparkan terhadap saya dalam sidang media itu adalah tidak berasas dan bersifat fitnah.
Atas nasihat peguam, prosiding undang-undang untuk mendedahkan kebenaran akan diteruskan.
Ada pihak ugut untuk ikut rentak
Dakwa pemilik nama Idris Khan Abdul Ghaffar Khan, ada segelintir pihak yang menggunakan kedudukan kuasa dengan memeras ugut supaya mengikut rentak mereka atau menanggung akibatnya.
Saya akan melawan penyalahgunaan kuasa secara terang-terangan ini hingga ke akhirnya.
Dalam pada itu, finalis Hero Remaja pada tahun 2007/2008 juga mengingatkan kepada semua bahawa rezeki datang daripada Allah SWT dan bukan daripada tangan bernama manusia.
Saya tidak akan berdiam diri menghadapi sebarang ancaman yang memperkecilkan peribadi, integriti dan prinsip saya dalam hidup.
Pihak yang pernah bekerjasama dan mengenali saya sepanjang saya berada di dalam industri ini boleh mengesahkan komitmen dan etika bekerja saya yang tidak boleh dipertikaikan.
Sumber: Instagram @theidriskhan