
Dalam dunia yang serba moden ini, kita sering kali dihidangkan dengan pelbagai pilihan makanan yang nampak menyalerakan namun sebenarnya tinggi dengan lemak dan kolesterol.
Ramai yang tidak menyedari bahawa apa yang kita letakkan di dalam pinggan hari ini adalah cerminan kesihatan kita pada masa hadapan.
Artikel Berkaitan: Public Health Malaysia Kongsi Kalori & Gula Top 5 Makanan Viral – ‘Tak Hairan Angka Obesiti Makin Naik’
Artikel Berkaitan: Lindungi Diri & Keluarga Dari Risiko Penyakit, Ini 10 Tips Keselamatan Makanan Ketika Banjir
Bantu kurang lemak jahat
Mengamalkan pemakanan rendah kolesterol bukan bermakna kita perlu berhenti menikmati makanan, tetapi ia adalah satu langkah bijak untuk menyayangi jantung dan memastikan tubuh badan kekal bertenaga tanpa ancaman penyakit kronik.
Justeru, Public Health Malaysia menerusi hantaran di Facebook berkongsi lima makanan yang sesuai untuk menjaga kolestrol dalam tubuh badan.
1. Tauhu & tempe
Tauhu dan tempe bukan sekadar makanan sampingan, tetapi merupakan sumber protein lengkap yang mampu menggantikan peranan daging dalam menu harian.
Cara mudah untuk menyediakan makanan ini adalah tempe boleh digoreng menggunakan sedikit minyak atau dibakar manakala tauhu pula boleh dibuat sup atau tauhu telur kukus.
2.Kekacang dan biji-bijian
Kekacang dan biji-bijian adalah alternatif terbaik kepada snek ringan yang biasanya tinggi garam dan lemak trans, contohnya seperti badam, walnut, gaju, biji chia atau flax.
Anda boleh mengambil makanan ini segenggam kecil setiap hari kerana ia merupakan antara sumber lemak paling sihat untuk jantung.
3.Avocado
Walaupun teksturnya berlemak dan berkrim, namun lemak yang terkandung di dalamnya adalah sangat bermanfaat untuk badan.
Lemak ini membantu menurunkan tahap kolesterol jahat dan pada masa yang sama mengekalkan atau meningkatkan tahap kolesterol baik.
4.Sayur tinggi serat larut
Mengamalkan pengambilan sayur-sayuran seperti lobak merah, kacang panjang, bendi, terung, dan brokoli secara konsisten sangat penting kerana kandungan serat larutnya bertindak menyingkirkan kolesterol jahat daripada usus.
Cadangan pengambilannya adalah setiap kali menjamu selera, ambil dua jenis sayur.
5. Ikan kembung, sardin, tenggiri
Pengambilan ikan seperti kembung, sardin, dan tenggiri merupakan strategi pemakanan yang sangat berkesan kerana kandungan Omega-3 di dalamnya meningkatkan kolesterol baik.
Bagi memastikan khasiat tersebut tidak terjejas oleh lemak tambahan, kaedah memasak seperti membakar, menggunakan air fryer atau menyediakan menu berkuah seperti sup dan singgang adalah pilihan yang paling baik berbanding menggoreng atau menggunakan tepung.
Sumber: Public Health Malaysia