Pelakon dan pengacara, Zizan Razak memaklumkan beberapa individu sudah tampil memohon maaf selepas dia menegur secara terbuka penggunaan wajahnya yang dijadikan trend ‘meme’ di media sosial sejak kebelakangan ini.

Artikel Berkaitan: Zizan Razak Bersuara Gambar ‘Meme’ AI Disunting Keterlaluan – ‘Biarlah Berpada & Tak Langgar Hukum Agama’

Gurauan ada batas

Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak, 42, berkata, dia menghargai tindakan mereka yang mengakui kesilapan, namun masih belum sempat membalas semua mesej yang diterima.

Ada beberapa yang sudah minta maaf dan saya sudah membaca mesej permohonan maaf mereka. Cuma belum sempat membalasnya kerana saya sibuk dengan kerja.

Kepada yang datang minta maaf, bagus tindakan anda. Mereka yang melakukan trend itu masih menjaga batas, itu tidak mengapa, saya masih okay. Kalau itu boleh buat Malaysia tersenyum, tidak salah.

Zizan berkata demikian ketika ditemui pada sidang media filem Terbang yang berlangsung di Carfe, Petaling Jaya, pada Rabu.

Mengulas lanjut, aktor kelahiran Terengganu itu menjelaskan dia pada mulanya menganggap trend tersebut sebagai gurauan yang menghiburkan, namun mula berasa kurang selesa apabila ada pihak menyunting wajahnya secara melampau sehingga menyentuh isu sensitif.

Sejujurnya pada awal saya rasa kelakar dan seronok tengok trend itu, tetapi apabila ada yang tukar wajah saya jadi wanita dan paling teruk jadi ‘The Nun’, itu sudah melampau. Sebagai orang Islam, itu sudah melanggar hukum.

Kalau nak buat bahan gurauan boleh, namun harus berpada-pada. Saya bekerja dalam bidang seni dan terbabit dengan televisyen. Jadi, ada perkara yang perlu dijaga.

Dulu saya pernah memakai pakaian perempuan, bukannya saya tak pernah buat. Tetapi apabila kita semakin meningkat usia dan lebih matang, kita juga diberitahu bahawa perbuatan menyerupai perempuan adalah haram.

Ambil tindakan

Dalam pada itu, Zizan turut berasa kurang senang apabila trend berkenaan mula digunakan oleh syarikat dan jenama tertentu untuk tujuan komersial tanpa mendapatkan keizinannya terlebih dahulu.

Menurutnya, dia masih boleh bertolak ansur jika dilakukan sebagai bahan jenaka oleh individu tertentu, namun situasinya berbeza apabila melibatkan keuntungan perniagaan.

Saya mula nampak peniaga-peniaga kecil menggunakan gambar saya. Saya bukan kata okay atau tak okay, tetapi saya masih boleh bertolak ansur.

Namun apabila syarikat-syarikat besar pula mula menggunakan gambar saya, saya tak mahu nanti jadi macam kes Datuk M. Nasir yang sampai ke saman dan sebagainya. Bagi saya, itu bukan sesuatu yang sihat.

Sebab itu saya rasa lebih baik saya keluarkan kenyataan. Bukan sebab marah, tetapi saya mahu bertegas dengan cara yang baik.

Kalau sudah melampau, baru saya akan ambil tindakan. Sekarang saya masih bertolak ansur. Sebenarnya, dari sudut undang-undang, sejak awal lagi saya sudah perasan ada beberapa jenama menggunakan gambar saya.

Ada juga yang dibuat oleh kawan-kawan sendiri. Sebagai kawan mereka boleh sahaja minta kebenaran atau izin terlebih dahulu. Tetapi mereka terus sahaja memuat naik.