berita

Tular Video Budak Berlumuran Darah Menangis Di Sisi Mayat Ibu Dipercayai Dibunuh

December 16th, 2022 | by Shahira
Kini Trending

Semalam, tular satu video berdurasi 24 saat memaparkan seorang kanak-kanak perempuan dalam keadaan berlumuran darah menangis di sisi mayat ibunya dalam satu kejadian di Kampung Titingan, Tawau, Sabah.

Menangis sebelah mayat ibu

Memetik laporan Sinar Harian, mangsa berusia 30 tahun dipercayai disamun sebelum lehernya dikelar menggunakan objek tajam di hadapan sebuah bangunan terbiar di Kampung Titingan. Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada 7:26 malam.

Difahamkan, insiden tersebut berlaku semasa mangsa dan anaknya berusia satu tahun dalam perjalanan ke rumah kakaknya yang terletak kira-kira 300 meter dari rumah sewanya.

Sebaik tiba di lorong yang gelap, mangsa dipercayai disamun dan mangsa cuba melawan. Rantai leher serta subang dipakainya hilang. Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan termasuk mengesan suspek dalam kejadian itu.

Menurut sumber, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh memaklumkan kepada bilik gerakan IPD Tawau untuk tindakan selanjutnya.

Sumber: Sinar Harian

SKIP THIS AD ×