Pengerusi Star Media Radio Group Berhad (SMRG) merangkap Ahli Lembaga Pengarah Star Media Group Berhad, Datuk Dr. Mohd Aminuddin Mohd Rouse tampil menjelaskan punca sebenar kontrak bekas penyampai radio Suria FM, Tyzo Xander ditamatkan pada minggu lalu.
Artikel Berkaitan: Didakwa Diberhentikan Sebab ‘Demand’ Gaji, Tyzo Tunggu Kenyataan Rasmi Daripada Pihak Stesen Radio
Artikel Berkaitan: ‘Rasa Seperti Mimpi Bila Tyzo Tiada..Ramai Sukakan Dia..’ – Shiera
Minta ‘extend’ kontrak 6 bulan
Ketika ditemui OhBulan!, Aminuddin mendakwa, kontrak Tyzo atau nama sebenarnya Tuah Zolqarnain pada awalnya akan tamat pada Oktober tahun lalu.
Mereka kemudiannya menawarkan kontrak tambahan selama setahun kepada Tyzo namun penyampai radio berkenaan hanya mahu menyambung kontraknya selama enam bulan.
Kontrak Tyzo tamat pada 9 Oktober 2023 dan dua bulan sebelum itu (Ogos 2023), saya berjumpa Tyzo untuk lanjutkan kontrak dia selama setahun.
Tyzo bersetuju tapi hanya nak lanjutkan selama enam bulan sahaja dengan alasan dia ada plan lain, nak fokus dengan perniagaan yang dilakukannya.
Pendapat saya mungkin keputusan itu dibuat selepas dirinya memengani anugerah di ABPBH, dia rasakan dia lebih laku dan dapat tawaran di tempat lain.
Seminggu selepas itu, Tyzo sekali lagi menyatakan dia hanya mahu menyambung kontrak selama enam bulan sahaja dan perbincangan itu disaksikan oleh DJ Lin dan beberapa barisan tertinggi Suria FM.
Aminuddin berkongsi perkara tersebut ketika sidang media memperkenalkan barisan penyampai radio Suria FM yang baharu bertempat di Cybertorium, Menara Star.
Tambah Aminuddin, meskipun memenangi Penyampai Radio Popular, itu sama sekali tidak memberi sebarang impak terhadap jumlah pendengar segmen Suria Petang yang dikendalikan bersama Sharifah Shahirah.
Kesan kemenangan Tyzo pada ABP35 memang tiada bahkan jumlah pendengar semakin menurun dan itu kenyataannya.
Bagi pendapat saya, sesuatu perlu dilakukan untuk pembaharuan Suria FM terjaga dan penamatan kontrak Tyzo adalah salah satu caranya.
Dalam pada itu, Aminuddin berharap agar mana-mana pihak tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan yang negatif serta berbaur fitnah yang boleh menjatuhkan reputasi stesen radio berkenaan.
Saya harap isu ini akan tamat dan tidak akan dibangkitkan lagi.
Jika ada mana-mana pihak yang terus buat kenyataan berbaur fitnah terhadap Suria FM, kami berhak dan tidak teragak-agak untuk ambil yindakan undang-undang.
Terdahulu, tularnya berita mengenai penamatan kontrak Tyzo dari stesen radio Suria FM sehinggakan ramai yang mula mempertikaikan keputusan stesen radio berkenaan.
Bukan itu sahaja, timbul pula dakwaan dari penyampai radio Selangor FM, Anie Mokhtar yang mengatakan Tyzo telah dianiayai oleh DJ Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abdul Majid yang juga merupakan Pengurus Besar Suria FM.