
Dalam keadaan industri teater tempatan masih berusaha mencari tempat di hati penonton arus perdana, kehadiran Tarik Picu memberi satu lagi nafas segar kepada landskap seni persembahan tanah air.
Selesai menonton persembahan pertama yang berlangsung malam tadi, Tarik Picu mengangkat kisah tentang kelangsungan hidup, rasa bersalah, pengkhianatan dan pilihan yang sukar.
Naskhah arahan Fazleena Hishamuddin dengan skrip Amar Amir ini berjaya menyampaikan konflik manusia secara dekat tanpa perlu bergantung kepada gimik yang berlebihan.
ARTIKEL BERKAITAN: ‘Orang Cakap Saya Hebat Berlakon, Cuma Pendek’ – Khenobu
ARTIKEL BERKAITAN: Idan Aedan Tak Kejar Anugerah, Fokus Pada Kualiti Lakonan
Pelakon saling melengkapi
Apa yang paling mencuri perhatian bukanlah jalan ceritanya semata-mata, tetapi bagaimana setiap pelakon saling melengkapi antara satu sama lain sehingga menjadikan keseluruhan pementasan terasa hidup.
Jay Iswazir muncul sebagai pelakon yang paling menyerlah sepanjang pementasan. Penguasaan emosinya begitu meyakinkan dan setiap kemunculannya mempunyai impak tersendiri.

Ada kalanya dialog yang dilontarkan Jay agak berlebihan, tetapi ia saling melengkapi kerana ekspresi wajah, bahasa tubuh dan kawalan emosi berpadu dengan mesra sehingga membuatkan penonton terus memberikan perhatian.
Dalam masa sama, Amalina Arham dengan loghat Utara pula berjaya menjadi ‘perasa’ kepada keseluruhan naskhah. Kehadirannya memberikan keseimbangan emosi dalam cerita yang sarat dengan ketegangan. Lakonannya cukup bersahaja, namun mampu menyampaikan rasa dengan begitu baik sehingga penonton dapat merasai konflik yang sedang dipikul oleh wataknya.

Bagi Arfie Shah, percubaan pertamanya di pentas teater wajar diberikan pujian. Masih ada ruang untuk diperkemaskan daripada aspek teknikal, namun keberaniannya untuk berdiri di pentas teater memperlihatkan potensi yang cukup besar. Ini permulaan yang baik untuknya.
ARTIKEL BERKAITAN: Tak Layak Ganti Awal Ashaari Dalam Impak Maksima 2? Arfie Shah Tak Ambil Hati
Idan Aedan pula meneruskan konsistensinya sebagai pelakon yang tahu mengawal rentak persembahan. Lakonannya kemas dan sentiasa berada pada intensiti yang tepat tanpa cuba mencuri perhatian secara berlebihan.

Dalam pada itu, antara kejutan paling menyenangkan sepanjang pementasan ialah Khenobu. Mungkin namanya belum sebesar pelakon lain, namun persembahannya membuktikan dia mempunyai kualiti yang tidak boleh dipandang ringan. Industri seni tanah air wajar memberikan lebih banyak peluang kepada pelakon seperti Khenobu kerana potensinya jelas kelihatan di atas pentas.
Lebih daripada sekadar sebuah pementasan, Tarik Picu yang ditulis dan diarahkan dengan baik juga membuktikan bahawa masih ada pihak yang benar-benar percaya kepada masa depan teater tempatan.
Pujian kepada Mask Team
Puji harus diberikan kepada Shawn Amer bersama Mask Team yang dilihat konsisten menghidupkan pentas teater sebagai sebuah produk hiburan komersial. Saban tahun, mereka terus menghasilkan pementasan baharu tanpa gagal, sekali gus membuktikan teater masih mempunyai ruang untuk berkembang jika dipersembahkan dengan strategi yang tepat.
Rekod pementasan dan produksi yang diterbitkan Mask Team juga memperlihatkan komitmen berterusan mereka dalam membangunkan ekosistem seni persembahan tempatan.

Usaha seperti inilah yang sebenarnya diperlukan oleh industri. Teater tidak seharusnya dilihat sebagai hiburan untuk kelompok tertentu sahaja, sebaliknya perlu terus dibawa ke ruang yang lebih komersial supaya mampu menarik generasi penonton baharu tanpa mengorbankan nilai seni yang menjadi asasnya.
Secara keseluruhannya, Tarik Picu bukanlah sebuah pementasan yang cuba menjadi luar biasa melalui kesan visual atau kejutan semata-mata. Sebaliknya, kekuatannya hadir menerusi lakonan yang mantap, pengarahan yang tersusun dan sebuah cerita yang berjaya membuatkan penonton terus memikirkan tentang pilihan serta akibat selepas tirai ditutup.
Tarik Picu sedang dipentaskan di Nero Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC) sehingga 19 Julai 2026.








