Umum mengetahui, pengacara, Uyaina Arshad sebelum ini telah menerima tawaran untuk mengacarakan sebuah program hiburan di stesen televisyen Indosiar di Indonesia.
Berikutan pandemik Covid-19 yang melanda dunia, program tersebut terpaksa dihentikan buat sementara waktu dan Uyaina hanya memberi fokus terhadap kerjayanya di tanah air sahaja.
Terbaru, isteri kepada Raja Syahiran ini dijangka bakal ‘terbang’ ke Indonesia semula untuk mencipta nama di sana.
Seorang yang realistik
Memilih mengunci mulut dan enggan mengesahkan tawaran lumayan itu, Uyaina bagaimanapun memohon semua pihak mendoakan dia dapat kembali bertemu peminat dan mewarnai industri seni hiburan Indonesia tidak lama lagi.
Saya seorang yang sangat realistik. Selagi belum tandatangan kontrak tawaran saya tidak akan membuka mulut. Itu prinsip saya sepanjang bergiat aktif dalam dunia seni.
Saya akan umumkan bila semuanya sudah ada hitam putih. Cuma tidak dinafikan memang ada tawaran daripada stesen TV di Indonesia.
Menurut Uyaina, sekiranya tawaran itu sah menjadi miliknya, dia akan membawa putera sulungnya, Raja Urhan ke Indonesia untuk bersama dengannya.
Sebenarnya saya sudah berbincang dengan suami (Raja Syahiran) berkenaan perkara ini. Dia pun ada kerja yang perlu dilakukan dan menuntut untuk berada di sini.
Sekiranya saya jadi pergi ke sana, perancangannya untuk membawa anak. Dia nyawa saya dan mana mungkin saya boleh tinggalkannya.
Lagipun Urhan sudah berusia enam bulan. Dia sudah mula kenal serta tahu bila saya keluar bekerja. Jadi untuk pergi ke Indonesia tanpa dia di sisi, saya tidak akan pergi.
Saya ada letakkan syarat kalau pergi bekerja di sana, perlu bawa anak bersama. Sekiranya ada situasi yang tidak membenarkan perkara ini, tidak mengapa. Saya akan fikir perkara lain yang boleh dilakukan.
Sebelum kahwin lain
Bercerita mengenai bagaimana dia ingin menyusun jadual seninya yang sedia ada sudah padat di Malaysia dan bakal bertambah di Indonesia, Uyaina memberitahu, dia seorang yang suka mencabar dirinya walaupun sedar apa yang dilakukan itu amat meletihkan.
Zaman sebelum kahwin saya pernah buat dua program bersiaran secara langsung dalam satu hari. Tahap gila saya pada waktu itu adalah begitu.
Bayangkan habis saja program realiti di Indonesia sekitar jam 1 pagi, saya bergegas ke lapangan terbang untuk pulang ke Malaysia.
Sampai saja di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) saya terus bergerak ke Sri Pentas, Bandar Utama untuk mengacara program Wanita Hari Ini (WHI).
Tamat saja program itu saya terus ke KLIA semula untuk kejar siaran langsung program yang saya buat di Jakarta. Tapi itu semua zaman sebelum kahwin dan ada anak, tapi kali ini mungkin perlu ikut tenaga dan kudrat sekarang.
Ditanya mengenai kerjaya di Malaysia sekiranya tawaran di Indonesia menjadi kenyataan, Uyaina berkata, dia masih meneruskan kerja hakiki yang dilakukan sekarang ini seperti mengendalikan program WHI.
Walaupun selepas ini akan bergiat aktif di Indonesia, tapi kerjaya di Malaysia tidak akan saya lupakan, Saya masih aktif mengacarakan program WHI.
Saya tidak akan tinggalkan apa yang sudah saya bina selama ini semata-mata untuk pergi bekerja sekejap. Saya bukannya nak berhijrah ke Indonesia selamanya.