Setiap malam Jumaat, rata-rata umat Islam mengambil peluang untuk meluangkan masa dengan membaca surah Yasin.

Amalan ini bukan sahaja menjadi tradisi yang penuh keberkatan, malah turut memberi ketenangan jiwa serta mengingati kebesaran Allah SWT.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Adakah Jadi Kafir Yang Joget Yah*di Macam Dalam TikTok? Ini Penjelasan Ustaz Azhar Idrus

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Ustaz Azhar Idrus Tegur Lelaki Tayang Dada – ‘Tak Boleh Buka Bahagian Atas Badan Depan Perempuan Ajnabi’

Penjelasan Ustaz Azhar

Menerusi perkongsian di Facebook, pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus menjelaskan tentang hukum membaca surah Yasin pada malam Jumaat berdasarkan hadis Rasulullah SAW.

Membaca surah Yasin adalah disuruh syarak dan besar pahalanya kerana masuk dalam perintah yang umum oleh agama menggalakkan membaca Quran.

Dari Abi Umamah Al-Bahili r.a. katanya : Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda :

“Bacalah kamu sekelian akan Al-Quran. Kerana ia akan datang pada hari kiamat nanti sebagai pemberi syafa’at bagi orang-orang yang membacanya.” (Hadith riwayat Muslim).

Dan dari Abi Hurairah r.a. adalah Rasulullah SAW bersabda :

“Siapa yang membaca Yasin pada malam hari dengan mengharapkan keredhaan Allah maka akan diampunkan (dosa) baginya .” (Hadith At-Tabarani dan Baihaqi dan Ibn Hibban).

Jelas pada hadis ini disunatkan membaca Yasin pada malam jumaat kerana Yasin adalah salah satu surah dalam Quran.

Harus membaca Yasin pada malam Jumaat atau pada malam mana sahaja yang berkelapangan samada sendirian atau berkumpulan kerana tidak ada dalil yang melarang membaca Yasin pada malam Jumaat atau malam yang lain.

Menurut Ustaz Azhar, bacaan Yasin tidak ditetapkan untuk dibaca hanya pada hari Jumaat, sebaliknya umat Islam digalakkan membaca Al-Quran pada bila-bila masa mengikut kelapangan masing-masing.

Tidak ada seorang pun ulama yang mewajibkan baca Yasin pada malam Jumaat atau mengatakan surah Yasin hanya boleh dibaca pada malam jumaat sahaja.

Sebaiknya tidaklah menentukan malam jumaat sahaja untuk membaca Yasin sekalipun ada hadis yang menyebut tentang membaca Yasin pada malam Jumaat.

Tetapi jika seorang itu hanya ada kelapangan pada malam Jumaat lalu dibacanya akan Yasin, maka dia mendapat pahala di sisi Allah.

Siapa yang mengatakan Yasin hanya boleh dibaca pada malam Jumaat sahaja adalah ahli bidaah yang membuat hukum sendiri.

Bagaimanapun, Ustaz Azhar berkata, kebiasaan yang dilakukan masyarakat ini tidak menjadi sebarang kesalahan dan apa yang telah diamalkan mendapat pahala.

Hadis-hadis sahih menyebut siapa membaca Al-Quran akan mendapat pahala dan kelebihan samada bacaannya itu hukumnya harus atau afdal.

Bacalah Al-Quran setiap hari sama ada sedikit atau banyak dan yang sudah mengamalkan membaca Yasin pada malam Jumaat maka teruskanlah dan tambah satu lagi surah iaitu surah Al-Kahfi kerana sepakat ulama afdal membacanya pada malam Jumaat.

Sumber: FB Ustaz Azhar Idrus