Pendakwah dan penceramah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias atau Ustaz Kazim mendedahkan dia masih mengalami kesukaran untuk tidur sejak 15 tahun lalu dipercayai akibat perbuatan sihir.
Artikel berkaitan: Ustaz Kazim Dedah Ada Individu Minta Maaf & Mengaku Jadi Orang Suruhan Si Penyihir – ‘Tapi Saya Tak Tanya Siapa’
Artikel berkaitan: 25 Tahun Ustaz Kazim ‘Lawan’ Dengan Sihir, Dedah Masa Mandi Nampak Jarum Keluar Dari Badan
Dapat tidur dalam kereta
Memetik laporan Berita Harian, Ustaz Kazim menjelaskan dia hanya dapat tidur ketika berada di dalam kereta sahaja.
Saya mula kena sihir pada 1997 dan sudah mula beransur pulih sejak 2021. Sekarang, saya hadapi kesukaran tidur selama 15 tahun. Saya hanya boleh tidur kalau dalam kereta sahaja.
Kalau malam saya hendak tidur, saya akan minta pemandu bawa kereta ke Tanjung Malim misalnya, kemudian patah balik.
Jadi, dapatlah saya tidur selama dua hingga tiga jam. Saya sudah dapatkan rawatan doktor, namun tidak dapat diselesaikan juga.
Sihir ini tidaklah hilang sepenuhnya, ‘tapak’ atau ‘bekas’ daripada gangguan itu masih ada. Disebabkan itu, kalau saya pergi ke tempat yang ada gangguan, saya akan rasa seperti tidak kena.
Dalam pada itu, dia menyatakan rasa syukur dapat kembali merasai nikmat sihat selepas menjalani pelbagai rawatan dan berhabis wang ringgit untuk menyembuhkan penyakit tersebut.
Cukuplah duduk lama di hospital, berubat lama dan banyak berhabis duit. Cukuplah sakit dan berhadapan dengan pelbagai gangguan termasuk nampak perkara bukan-bukan.
Perlu berpantang ketika berceramah
Bagaimanapun, Ustaz Kazim memberitahu dia masih perlu berpantang bukan sahaja dalam pengambilan makanan malah berhati-hati dalam melontarkan kata ketika berceramah.
Kesan daripada santau, saya perlu jaga makan. Sampai sekarang saya tak boleh makan rebung, limau nipis, kambing dan tak boleh minum air tebu sebab semua itu ada bisa. Kalau makan, badan saya akan sakit dan pedih.
Antara lain, saya perlu berpantang ketika bercakap sebab takut boleh buatkan orang terasa hati sebab dulu masa muda, saya jadi penceramah yang garang, lantang dan bersemangat.
Ketika itu, ada orang marah kerana mungkin saya terlepas cakap. Selepas dapat tahu saya tanya dan mengadap orang yang menghantar sihir kepada saya.
Orang itu pun cakap dia terasa dengan apa yang saya cakap. Tapi, saya tak tahu perkara itu kerana tak kenal peribadinya. Jadi, sekarang saya ambil keputusan untuk lebih berhati-hati.
Sumber: Berita Harian