Pengacara, Uyaina Arshad berpegang pada prinsip untuk tidak menyindir orang lain sewaktu mengacara mana-mana program dikendalikannya.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Uyaina Arshad Idolakan Neelofa & Izara Aisyah, ‘Throwback’ Momen Ketika Pertama Kali Bertemu
Pengacara baik tak menyindir
Ketika ditemui OhBulan!, pemilik nama Saidatul Naseha Uyaina Arshad berkata, prinsip itu bukan sahaja perlu dipraktikkan oleh mana-mana pengacara malah perlu diaplikasikan dalam diri semua masyarakat.
Saya bercakap tidak merujuk satu pihak sebaliknya harap perkara ini dipraktikkan di mana-mana bukan dalam pengacaraan saja.
Tak perlu menyindir atau mengata buruk orang lain. Bagi saya, lebih baik berikan fokus kepada perkembangan diri, kemahiran dan apa yang boleh sampaikan kepada orang.
Uyaina berkongsi perkara tersebut pada sesi sidang media Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-36 yang diadakan di Auditorium MBSA, Shah Alam pada Jumaat.
Jangan patah semangat
Sementara itu, ibu kepada dua orang anak ini menganggap kejayaannya yang dinobatkan sebagai Pengacara TV Popular pada ABPBH36 membuktikan pengacara tidak mempunyai latar belakang hiburan tetap mempunyai peluang untuk merangkul trofi.
Selama ini saya akui sangat susah untuk menempa nama tapi semua itu tidak mustahil.
Saya harap kepada rakan-rakan pengacara lain yang mungkin berasa program berbentuk majalah, informatif atau bual bicara tidak ada peluang untuk diterima atau tempat di hati masyarakat, hari ini adalah buktinya.
Jangan patah semangat sebaliknya kekal dengan identiti kita. Saya mengaku teringin untuk mengacarakan program hiburan selepas ini walaupun pernah beberapa kali ditawarkan, tapi saya lihat tawaran itu lebih banyak di Indonesia.
Jadi saya harap dengan kejayaan ini saya dapat lebih banyak peluang itu di Malaysia dengan mengekalkan identiti saya supaya bidang pengacaraan ini terus dihormati.
Sekadar info, Uyaina berjaya menewaskan pemenang tahun lalu, Elly Mazlein, serta Raja Azura, Izzue Islam dan Anim Ezzati untuk menjulang trofi Pengacara TV Popular pada malam gemilang ABPBH36.