Pengarah Ahmad Idham menepis dakwaan bahawa dirinya mencemburui bisnes orang lain sehingga bertindak menyuarakan tentang isu kesesakan lalu lintas di kawasan premis perniagaannya.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Apa Yang Saya Tegur Itu Bukan Kepada Syarikat Atau Individu, Tapi Sikap Pemandu’ – Ahmad Idham

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Aliff Syukri Enggan Panjangkan Isu, Sedia Bersemuka Dengan Ahmad Idham – ‘Saya Maafkan Dia’

Bukan kerana cemburu

View on Threads

Menerusi hantaran di Threads, , Ahmad Idham atau nama sebenarnya, Ahmad Idham Ahmad Nadzri menjelaskan bahawa tindakannya itu adalah kerana dia berasa bimbang dengan keselamatan anak-anak istimewa di pusat pendidikan khas yang diusahakan berikutan terdapat segelintir individu menghalang laluan premisnya.

Apabila kita bercakap fasal anak istimewa bermaksud saya perlu menitikberatkan isu keselamatan.

Jadi apabila saya melihat dua, tiga bulan ini trafik makin banyak di premis saya dan semakin hari semakin ramai orang tidak bertamadun suka parking menghalang laluan lalu lintas dan pagar sekolah.

Kalau ada kecemasan anak-anak istimewa ini saya tidak boleh bawa mereka ke hospital disebabkan ada sikap orang tidak bertanggungjawab menghalang laluan, apa awak nak buat?

Ini bukan isu dengki, ini bukan isu sebab orang itu lebih kaya perniagaannya lebih bagus. Tak ada kena mengena.

Mengulas lanjut, Ahmad Idham berkata, dia membangunkan perniagaan tersebut bukan untuk mengaut keuntungan semata-mata tetapi atas dasar tanggungjawab terhadap anak-anak istimewa.

Perniagaan yang saya buat ini sebenarnya adalah untuk membantu orang. Saya cakap terus terang, ada juga yang tidak mampu saya ambil untuk belajar di situ. 

Dalam masa sama, saya tolong carikan penaja untuk mereka. Perniagaan saya memang tak besar mana pun. Ya, perniagaan saya ni takkan mampu untuk beli bangunan harga berjuta ringgit. 

Tapi kita kena ingat tak semua orang berniaga hanya untuk mengejar kekayaan. Ada orang berniaga demi mengejar keberkatan dan nak bantu orang lain.

Mendapat kelulusan

Dalam pada itu, pengarah filem Impak Maksima ini memaklumkan bahawa dia telah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa untuk menjalankan perniagaan di kawasan tersebut selepas ada yang mendakwa pusat pendidikan khas tidak sesuai dibangunkan di lokasi berkenaan.

Kalau itu pun di mata anda semua salah, saya minta maaf. Kalau tanya saya, kenapa buka di premis itu kerana lokasinya sesuai. 

Ketika saya buka pun dah dapat kelulusan daripada bomba, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia.

Jadi kalau dah diizinkan kenapa saya tak boleh buka di kawasan itu? Mestilah saya nak buat di tempat besar juga supaya lebih ramai orang saya boleh bantu.

Terdahulu, Ahmad Idham menerusi beberapa hantaran di Threads meluahkan rasa kesal apabila kawasan sekitar wisma milik usahawan Datuk Seri Aliff Syukri itu menjadi tumpuan orang ramai sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Ahmad Idham turut berpendapat kawasan berkenaan tidak sesuai dijadikan lokasi jualan yang mampu menarik kehadiran ramai pelanggan kerana berpotensi mengganggu aliran trafik setempat.

Bagaimanapun, Ahmad Idham kemudian membuat permohonan maaf dan menjelaskan hantaran dibuat hanyalah tanda kecewa terhadap sikap segelintir individu, bukan ditujukan kepada mana-mana individu.

Sumber: Threads