Jenazah pelakon veteran, Allahyarham Lan Zailan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ22 pada pagi Khamis.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Ellie Suriaty, Fizz Fairuz Terkilan Tak Sempat Lawat Lan Zailan Sepanjang Sakit – ‘Arwah Sangat Baik, Selalu Hiburkan Orang’
Artikel Berkaitan: Isteri Syukur Arwah Lan Zailan Sempat Jumpa Keluarga & Kenalan Sebelum Meninggal Dunia – ‘Paru-Parunya Sebelah Sudah Collapse’
‘Arwah di set, dia suka buat orang gelak’
Ketika ditemui OhBulan!, anak sulung kepada arwah Lan Zailan iaitu Baizura meluahkan rasa syukur selepas proses pengebumian bapanya dipermudahkan Allah SWT ditambah pula dengan cuaca yang amat baik.
Ujar Baizura, proses pengebumian hari ini berjalam lancar mungkin kerana sikap bapanya disenangi orang ramai serta suka menghiburkan orang.
Alhamdulillah dari awal lagi memang semuanya senang dan mudah. Cepat saja semuanya berjalan, malah cuaca juga sangat redup saja memberi kesenangan untuk semua yang melawat di sini. Dari awal kami menguruskan untuk mandi jenazah, kemudian uruskan masjid dan kubur, semuanya mudah.
Kalau tanya saya apa amalan dia, mungkin kami tak nampak tapi semua kawan dia yang berjumpa saya semuanya cakap dia baik, semalam pun abang Ako Mustapha pun datang mengatakan arwah seorang yang baik, walaupun mereka tak selalu shooting bersama.
Arwah di set, dia suka buat orang gelak. Malah keluarga mertua pun sangat sayangkan dia sebab dia cakap arwah seorang penghibur. Ada saja benda dia nak buat orang gelak.
Dia memang suka buat lawak, mengusik dan bergurau tapi dia sebagai seorang bapa, dia seorang yang fleksibel, apa yang anak dia nak buat, dia sokong.
Baizura berkongsi perkara tersebut ketika ditemui selepas selesai proses pengebumian arwah Lan Zailan pada Khamis.
Syukur dapat jumpa ayah sebelum meninggal
Dalam pada itu, Baizura juga meluahkan rasa syukur kerana dia dan adik beradiknya diberikan kesempatan untuk meluangkan masa bersama sebelum arwah Lan menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Alhamdulillah kami adik beradik juga dapat berkumpul dan tunggu dia sampai dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Sebenarnya dia sudah keluar hospital dan dia masuk hospital balik atas permintaan dia, jadi kami hormat apa yang dia nak.
Dia masuk hospital pada Ahad, dan masa cepat berlalu sebab doktor katakan dia ada tiga bulan tapi kami ada masa tiga hari bersamanya itu sudah cukup bersyukur kerana jujurnya semua sangat mudah.
Kami juga sudah reda dari awal sebab kami tahu dia sakit dan saya juga sudah pesan pada adik beradik apa saya keputusannya dan apa saja yang kita lalui di depan, kita doa banyak, Allah permudahkan apa saja. Kami semua sepakat terima dengan baik dan dia pun melepaskan kami semua dengan senang hati.
Sekadar info, jenazah Allahyarham Lan Zailan atau nama sebenarnya Zailan Kamarudin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ22 kira-kira jam 11.25 pagi tadi.
Antara rakan artis yang turut hadir memberikan pengormatan terakhir termasuklah Riezman Khuzaimi, Zila Bakarin, Sheila Mambo dan Liza Abdullah.
Jenazah arwah Lan Zailan kemudiannya telah dimandikan di PPUM dan disolatkan di Masjid As-Salam, Puchong Perdana.
Sebelumnya, Lan dimasukkan ke pusat perubatan berkenaan sejak Ahad selepas keadaan kesihatannya kurang stabil.
Arwah sebelum ini disahkan menghidap kanser pankreas tahap empat dan telah menjalani rawatan sejak 27 November sebelum dibenarkan pulang pada Sabtu.