berita

[VIDEO] Baru Pulang Dari Kedai, Bapa Cuba ‘Tibai’ Anak Guna Penukul Ditahan Polis

July 10th, 2020 | by Shahira
Kini Trending

Penderaan kanak-kanak bukan satu perkara baharu di Malaysia bahkan telah menjadi isu yang membelenggu masyarakat di negara kita. Paling menyedihkan apabila pendera itu adalah ibu bapa sendiri.

Terbaru, seorang lelaki di tahan pihak polis selepas disyaki cuba memukul anak lelakinya di dalam sebuah lif menggunakan penukul.

Detik cemas di dalam lif

Insiden ngeri yang sempat dirakam kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan lelaki berusia 42 tahun itu dipercayai berada dalam keadaan mabuk dan tidak terurus sambil cuba menghayunkan penukul ke arah mangsa. Kanak-kanak lelaki yang berusia 8 tahun itu dilihat sedang ketakutan.

Menerusi laporan yang dipetik daripada Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong memaklumkan bahawa pihak mereka bergegas ke lokasi kejadian di Bandar Baru, Ayer Itam selepas menerima laporan daripada isteri suspek. Difahamkan, sejak 4 tahun lalu, si isteri dikatakan sudah tidak tinggal sebumbung bersama suspek.

Ketika kejadian, suspek dan mangsa dari tingkat bawah ke tingkat 16 untuk pulang ke rumahnya. Menurut mangsa, mereka baru pulang dari kedai.

Suspek ada rekod jenayah

Setibanya di lokasi kejadian, pihak polis telah menahan suspek dan kanak-kanak itu juga diselamatkan sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk pemeriksaan pakar.

Wanita yang juga pekerja kilang itu menerima mesej video yang diambil dari rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dalam sebuah lif perumahan di Farlim dari adiknya, petang semalam. Dia terkejut apabila mendapati dalam video tersebut, suaminya memegang tukul dan cuba memukul anaknya yang dalam ketakutan.

Sementara itu, ujian saringan air kencing suspek didapati negatif tetapi dia akan dibawa ke mahkamah bagi direman dan siasatan lanjut. Menurut sumber, suspek mempunyai 5 rekod lampau yang melibatkan kes jenayah dan dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sumber: My Crime Watch, Sinar Harian

SKIP THIS AD ×