berita

[VIDEO] Diseret Sejauh 2km, Penunggang Motosikal Maut Dirempuh Pemandu Mabuk

June 1st, 2020 | by Shahira
Kini Trending

 

Seorang lelaki berusia 44 tahun disahkan meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya yang berlaku di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke Kuala Lumpur kira-kira jam 1.30 pagi pada hari ini (1 Jun 2020).

Dirempuh pemandu mabuk


Menerusi laporan yang dipetik daripada Berita Harian, kejadian tersebut berlaku semasa mangsa yang dikenali dengan nama Mohamed Zaili Mohamed dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghantar makanan yang dijual isterinya. Ketika dalam perjalanan, motosikal jenis honda EX5 yang ditunggang mangsa secara tiba-tiba telah dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta (MPV) jenis Nissan Grand Livina yang dipercayai dipandu oleh lelaki mabuk.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, mangsa yang mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak ke sebelah kiri bahu jalan, manakala motosikalnya diseret sejauh kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.

Suspek ditahan orang awam

Sementara itu, suspek yang berusia 21 tahun itu telah memberhentikan kenderaannya di bawah jejantas Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Titiwangsa berdekatan dengan lokasi kejadian selepas ditahan oleh orang awam.

Dia dibawa ke Balai Trafik Jalan Tun HS Lee dan telah disaring ujian ‘Evidential Breath Analyzer’ (EBA), keputusan saringan mendapati kandungan positif alkohol dalam pernafasan lelaki itu.

Difahamkan, kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sumber: Berita Harian, Facebook

SKIP THIS AD ×