Pelakon, Elfira Loy mengakui dirinya terkesan melihat penularan mengenai kes penderaan melibatkan kanak-kanak di pusat asuhan dan taska.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Elfira Loy Bakal Mengerjakan Ibadah Haji, Menangis Terharu Ramai Bantu Buat Persiapan
Sanggup belanja lebih
Ketika ditemui OhBulan!, pemilik nama Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri berkata, kejadian seperti itu membuatkan dirinya lebih memilih untuk menghantar anak ke sekolah yang diyakini sahaja.
Kisah-kisah ini menjadikan saya takut dan sanggup berbelanja lebih untuk hantar anak-anak ke sekolah yang dipercayai.
Buat masa ini saya hanya rasa takut, berjaga-jaga dan mampu berdoa untuk mereka.
Semua cerita (kes dera) merupakan peringatan untuk saya agar sentiasa bersiap sedia untuk apa sahaja kemungkinan termasuk aktiviti dilakukan oleh anak-anak yang terdedah dengan banyak perkara di luar.
Elfira berkongsi perkara tersebut ketika ditemui selepas majlis pelancaran produk terbaharu Wardah yang diadakan di restoran Blonde, Bukit Damansara pada Isnin.
Selesa jaga anak tanpa bibik
Dalam pada itu, Elfira juga memaklumkan dia kini menjaga dua anaknya iaitu Muhammad Rayyan Khalaf dan Nur Aria Mikayla sendirian tanpa menggunakan khidmat pembantu rumah.
Menurut ibu kepada dua orang anak ini, dia lebih selesa untuk berbuat demikian bersama suaminya, Faris Khairol tanpa mengharapkan bantuan daripada mana-mana pihak.
Bukan tidak percaya tetapi apabila saya ambil keputusan untuk memiliki anak, memang saya nak jaga sendiri dan suka menjadi seorang ibu.
Menjadi seorang ibu adalah tanggungjawab dan ini juga adalah nikmat yang Allah SWT beri sebab dapat masa bersama anak-anak.
Banyak kelebihan dapat jaga anak sendiri seperti mengajar mereka tentang ilmu agama dan perkara-perkara yang baik.
Sekadar info, Elfira dan Faris atau nama sebenarnya Muhammad Farsis Khairul Anuar mendirikan rumah tangga mereka pada 1 Januari 2019 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Rayyan, 5, dan Aria yang baru berusia dua tahun.