Pelakon dan pengarah, Ellie Suriaty mengakui dirinya berasa terkejut selepas menerima perkhabaran mengenai pemergian pelakon veteran, Allahyarham Lan Zailan.
Artikel Berkaitan: Isteri Syukur Arwah Lan Zailan Sempat Jumpa Keluarga & Kenalan Sebelum Meninggal Dunia – ‘Paru-Parunya Sebelah Sudah Collapse’
Artikel Berkaitan: Pelakon Lan Zailan Meninggal Dunia – ‘Kami Ada Di Sisi Arwah Ketika Hembus Nafas Terakhir’
Ellie Suriaty terkilan
Ketika ditemui OhBulan!, Ellie atau nama sebenarnya Ellie Suriaty Omar berkata, dia juga terkilan kerana tidak sempat untuk melawat arwah Lan sepanjang sakit.
Saya terkilan sebenarnya sebab tak dapat nak lawat arwah sewaktu sakit sebab saya sibuk dengan penggambaran.
Selepas selesai penggambaran pula saya diserang demam urat serta selesema. Jadi, kurang baik kalau saya datang melawat dalam keadaan saya begitu.
Bila saya dapat mesej pagi tadi mengatakan arwah dah ‘pergi’, saya rasa terkejut sangat.
Ellie berkongsi perkara tersebut ketika ditemui selepas selesai majlis pengebumian Arwah Lan Zailan di Tanah Perkuburan Islam USJ22 pada Khamis.
Bercerita mengenai personaliti, Ellie memaklumkan arwah Lan merupakan seorang pelakon senior yang gemar menghiburkan rakan-rakan di set penggambaran.
Dia seorang pelakon senior yang sangat baik dan rajin melawak dan dia adalah seorang insan yang disayangi ramai.
Paling saya ingat, arwah merupakan seorang suka menceriakan suasana dalam apa jua keadaan.”Saya tak boleh nak cakap apa dengan pemergian ini sebab semuanya telah ditentukan Allah SWT.
Fizz Fairuz juga terkilan
Sementara itu, pelakon dan penyampai radio, Datuk Fizz Fairuz turut meluahkan rasa terkilan kerana tidak sempat untuk menziarahi arwah Lan Zailan sepanjang sakit.
Saya terkilan sebab tak sempat ziarah. Sepatutnya saya rancang nak ziarah arwah dalam minggu ini sebab saya sibuk sebelum ini. Tapi Allah lebih sayangkan arwah dan dia pun ‘pergi’ hari ini.
Bila dapat berita arwah sakit pun saya dah risau sebab keadaan dia macam teruk saja dan itu yang membuatkan saya terkilan sebab tak sempat ziarah arwah.
Sekadar info, jenazah Allahyarham Lan Zailan atau nama sebenarnya Zailan Kamarudin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ22 kira-kira jam 11.25 pagi tadi.
Selain Fizz Fairuz dan Ellie Suriaty, antara rakan artis yang turut hadir memberikan pengormatan terakhir termasuklah Riezman Khuzaimi, Zila Bakarin, Sheila Mambo dan Liza Abdullah.
Terdahulu, Allahyarham Lan Zailan menghembuskan nafas terakhir di PPUM pada jam 4.24 pagi Khamis.
Jenazah arwah Lan Zailan kemudiannya telah dimandikan di Pusat Perubatan Universiti Malaya dan disolatkan di Masjid As-Salam, Puchong Perdana.
Sebelumnya, Lan dimasukkan ke pusat perubatan berkenaan sejak Ahad selepas keadaan kesihatannya kurang stabil.
Arwah sebelum ini disahkan menghidap kanser pankreas tahap empat dan telah menjalani rawatan sejak 27 November sebelum dibenarkan pulang pada Sabtu.