Pereka fesyen popular, Ezuwan Ismail berbangga apabila diberi kepercayaan menghasilkan busana buat penyanyi dan komposer terkenal Indonesia, Melly Goeslaw bersempena dengan Konsert Ada Apa Dengan Melly & Friends: Malam Graduasi yang berlangsung pada Sabtu di Axiata Arena Bukit Jalil.
Artikel Berkaitan: Selepas ‘Back To School’, Melly Goeslaw Kembali Dengan Konsert Ada Apa Dengan Melly & Friends (Malam Graduasi) Pada 1 Jun
Artikel Berkaitan: ‘Saya Tak Boleh Kawal Apa Orang Komen & Cakap Pasal Saya..’ – Melly Goeslaw
Kali pertama buat baju artis seberang
Foto: Bangsawan Pictures
Ketika ditemui OhBulan!, Ezuwan, 42, berkata ini adalah kali pertama Melly memilih untuk menyarung seleksi busana dari pereka tempatan dan semestinya menjadi satu penghargaan besar buat dirinya.
Kata Tukang Jahit Termahir Malaysia, permulaan memori terindah apabila pelantun lagu Lets Dance Together tertarik dengan busana yang dihasilkannya buat penyanyi, Aina Abdul ketika membuat persembahan di dalam sebuah majlis anugerah pada Februari lalu.
Kebetulan ketika itu dia disolek oleh jurusolek Epie Termerloh yang bertanya sama ada dia berminat untuk cuba guna khidmat pereka tempatan sekiranya membuat persembahan di Malaysia selepas ini.
Jadi dia ada meneliti baju saya di media sosial dan sehari selepas itu kami berjumpa untuk berbincang. Saya terkejut besar apabila dia beritahu berminat nak pakai baju saya untuk konsert besarnya di sini.
Satu penghormatan bila dia terus nak pakai baju pereka tempatan kita dalam satu persembahan skala besar. Rasa teruja campur berdebar bila berpeluang untuk berkarya seterusnya reka baju figura terkenal Seberang seperti Melly Goeslaw.
Iyalah bukan senang nak dapat kepercayaannya memandangkan sebelum ini dia belum pernah pakai mana-mana persalinan yang direka oleh pereka fesyen Malaysia. Rasa syukur sebab kita tahu namanya pun bukan calang-calang di rantau ini.
RM130,000 harga ‘two set’
View this post on Instagram
Bercerita mengenai rekaan, Ezuwan berkata harga denim ‘two piece’ jaket dan seluar itu mencecah RM130,000 dan menjadi paling termahal yang pernah dihasilkan untuk mana-mana selebriti setakat ini.
Katanya, sebanyak 70,000 mutiara daripada 10 saiz berbeza selain 30,000 manik yang tidak dijual di Malaysia telah disulam selama tiga minggu atas fabrik itu.
Sesuai dengan karektor dan personaliti Melly, Saya memilih fabrik denim sebagai input utama rekaan yang disulami dengan perincian penuh manik dan mutiara pelbagai saiz yang dijahit tangan dari atas sampai bawah.
Lebih 70,000 manik dan mutiara telah digunakan yang makan masa sekitar tiga minggu untuk disiapkan. Kalau dijual di pasaran, harganya sekitar RM130,000 dan mutiara pelbagai saiz itu juga telah dibeli dari luar negara.
Memang mahu cipta satu kelainan yang esklusif memandangkan ramai yang sedia maklum perincian serta jahitan yang kemas adalah ‘signature’ Ezuwan Ismail Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Ezuwan memberitahu Melly sangat menyukai hasil rekaannya sewaktu kali pertama mencuba selain menganggap ini adalah ‘jalan masuk’ untuk menembusi pasaran Indonesia.
Melly juga gembira dan tidak minta sebarang perubahan dilakukan pada mana-mana bahagian baju bila sesi ‘fitting’ dilakukan. Satu penghormatan juga bila Melly menyarung ia pada penutup konsert semalam yang kita tahu lagu-lagu hitsnya telah dipersembahkan pada segmen itu.
Malah sudah semestinya jangkaan orang luar juga tinggi untuk lihat apa lagi yang boleh Ezuwan Ismail Kuala Lumpur hasilkan sebab sebelum ini saya sudah mereka persalinan ikonik untuk konsert besar Datuk Seri Siti Nurhaliza, Aina Abdul dan Ziana Zain.
Syukur atas pelbagai maklum balas positif yang diterima. Saya anggap ini rezeki dan sudah semestinya pencapaian baik ini menjadi pembakar semangat untuk Ezuwan Ismail Kuala Lumpur terus mencipta sukses selepas ini, insya-Allah.
Foto: Bangsawan Pictures