Pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim meluahkan rasa rindu untuk mewakili negara di peringkat antarabangsa.
Artikel Berkaitan: Arif Aiman Ziarah Faisal Halim, Beri Kata-Kata Semangat – ‘Cepat Sembuh & Semoga Dipermudahkan Segala Urusan, Mickey’
Rindu wakil Malaysia
Menerusi sesi temu bual bersama @harimaumalaya_hm, Faisal berkata, pengalaman menyarung jersi Harimau Malaya telah memberikan seribu satu makna buatnya sebagai seorang pemain bola sepak.
Menurut Faisal atau nama sebenarnya Muhammad Faisal Abdul Halim, ia dapat menyuntik semangat buat para pemain untuk melakukan yang terbaik buat negara.
Sudah tentu saya rindu untuk beraksi buat pasukan kebangsaan sebab bila kita menyarung jersi kebangsaan, semangat dan mentaliti kita sangat berbeza.
Apabila kita mewakili negara, itu juga adalah satu peluang untuk tingkatkan prestasi dan motivasi itulah yang akan dibawa ke kelab yang kita wakil apabila selesai tugas bersama pasukan kebangsaan.
Belum tiba masanya untuk kembali
@harimaumalaya_hm “Mickey rindu sarung jersi skuad Kebangsaan!” #faisalhalim #harimaumalaya #demimalaysia #suarapenyokong ? Perwiraku teruskan berjuang – Ri Za
Walau bagaimanapun, anak jati Pulau Pinang ini mengakui masih belum tiba masa untuknya kembali menyarung jersi kebangsaan.
Ujar Faisal, meskipun sudah mula mendapatkan rentak permainan selepas mengalami kecederaan disimbah asid, masih banyak yang perlu dilakukan untuk mendapatkan prestasi asalnya.
Saya rasa belum masanya lagi untuk peminat melihat saya bermain (untuk Harima Malaya) dalam masa terdekat ini.
Mungkin, aksi saya sejak kebalakangan ini hanyalah permulaan untuk saya kembali.
Pada saya, saya perlu bekerja lebih keras untuk mendapatkan prestasi asal saya serta menjadi lebih baik.
Dan saya perlu bermain beberapa perlawanan yang penting dahulu untuk mendapatkan prestasi tersebut.
Di akhir temu bual, Faisal yang mesra disapa Mickey menitipkan kata-kata semangat buat rakan sepasukannya yang ketika ini sedang berhempas pulas mengharumkan nama negara di pertandingan Piala AMEC Mitsubishi 2024.
Buat rakan-rakan saya yang sedang berjuang mewakili negara, selamat maju jaya saya ucapkan.
Saya sentiasa menyokong anda semua.
Terdahulu, Faisal berehat panjang daripada dunia bola sepak selepas ditimpa musibah apabila disimbah asid oleh dua individu tidak dikenali di sebuah pusat membeli-belah pada Mei lalu.
Sumber: TikTok Harimau Malaya