Penyanyi meningkat naik dari Indonesia, Fajar Noor memilih untuk tidak berterusan memikirkan kontroversi yang melanda dirinya sebaliknya tekad memberi fokus terhadap kerjaya seninya.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Fajar Noor Masih Solo, ‘Red Flag’ Dengan Wanita Tidak Tepati Masa

Memilih untuk jalan terus

Ketika ditemui OhBulan!, pemilik nama Fajar Nurdiansyah, 21, mengakui bahawa setiap individu tidak lari daripada melakukan kesilapan dan menerima segala tohmahan yang diberikan kepadanya.

Saya melalui kontroversi ini sama seperti manusia biasa juga. Teruskan hidup, dan terima sahaja apa yang orang katakan.

Kita pun manusia, pernah buat salah. Jadi sekarang saya ambil masa untuk baiki diri, hasilkan karya, dan fokus pada apa yang sedang saya usahakan.

Saya mahu menulis lagu dan buat masa ini cinta-cinta itu saya tolak tepi dahulu.

Fajar berkata demikian ketika ditemui di sidang media pelancaran lagu Menjaga Hati yang diadakan di pejabat Universal Music Malaysia, Petaling Jaya pada petang Selasa.

Boikot

Mengulas mengenai segelintir peminat yang mula memboikotnya kerana terpalit dengan kontroversi cinta tiga segi, Fajar berkata perkara itu tidak memberi kesan kepada dirinya.

Reaksi saya, tidak mengapa, saya tidak kisah.

Saya tidak rasa kecewa kerana saya ini jenis yang bertanggungjawab atas apa yang saya buat. Jadi, saya okay. Terima seadanya.

Saya okay saja. Saya jenis yang terus jalan sahaja. Itu semua tanggungjawab juga. Jadi terpulanglah kepada orang mahu cakap apa pun.

Pada Jun lalu, Fajar terpalit kontroversi dengan juara Indonesian Idol Ke-13, Shabrina Leanor apabila video mereka sedang bercumbu tular dalam media sosial hingga mengundang kecaman ramai.

Shabrina berkongsi video menunjukkan dia sedang menata rias wajah Fajar sebelum dilihat mencium penyanyi itu.

Pada masa sama, Fajar juga didakwa mempunyai hubungan cinta bersama pelakon Indonesia, Amanda Lucson.

Susulan itu, peminat menunjukkan protes kerana kecewa terhadap penyanyi itu sehingga jumlah pengikutnya di Instagram (IG) dilapor menurun drastik.