Peguam mewakili pelakon Diana Danielle iaitu Datuk Akberdin Abd Kadir mengesahkan aktres tersebut dan suami, aktor Farid Kamil sudah tidak tinggal sebumbung.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Farid Kamil Perjelas Kemelut Rumah Tangga Hanya Perselisihan Faham – ‘Tsunami Pun Dua Kali, Inikan Ombak Cinta Perkahwinan’
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Pengarah Sifatkan Farid Kamil Profesional Meski Berdepan Isu Perceraian – ‘Dia Tak Pernah Nak Minta Tangguh Shooting’
Tidak lagi sebumbung
Akberdin berkata, Farid sudah keluar dari rumah kelamin yang didiami bersama Diana dan dua orang cahaya mata.
Diana tidak memberitahu secara terperinci sejak bila dia dan Farid sudah tidak tinggal sebumbung.
Tetapi yang diberitahu kepada saya, Farid memang sudah keluar rumah. Tidak lagi sebumbung.
Akberdin berkata demikian ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur usai Diana memdaftar permohonan rujuk dan cerai pada Isnin.
Dalam pada itu, disoal bilakah Diana menghubungi untuk menggunakan khidmat bagi menguruskan kes cerai, Akberdin memberitahu dia diminta bersedia sejak sebulan lalu.
Diana minta saya bersedia sejak sebulan lalu (uruskan kes cerai) dan baru-baru ini juga dia ada muat naik di Instagram berkenaan pendirian dia (nekad).
Tidak lama selepas itu, saya dapat arahan untuk teruskan untuk uruskan kes ini.
Komunikasi menerusi peguam
Tutur Akberidin lagi, selepas ini kedua-dua pihak hanya akan berkomunikasi menerusi peguam masing-masing.
Komunikasi antara kedua pihak hanya melalui peguam sahaja.
Terdahulu, Diana hadir ke mahkamah bagi mendaftar permohonan rujuk dan cerai terhadap suami, aktor Farid Kamil.
Mahkamah kemudian menetapkan 20 November ini bagi sebutan pertama permohonan rujuk dan cerai dan meminta kedua-dua belah pihak hadir.
Pada 28 Oktober lalu, Diana mengejutkan ramai apabila mengumumkan nekad mahu berpisah dan bakal memfailkan perceraian terhadap Farid buat kali kedua.
Tegas Diana, dia enggan lagi dipujuk dan nekad meneruskan perceraian selain tidak mahu lagi percaya dengan janji manis ditabur Farid.
Sebelum ini, Farid dalam satu sidang media memberitahu, tiada rumah tangga yang tidak dilambung ombak dan akan berusaha menyelamatkan perkahwinannya sehabis baik.
Imbas kembali, pada 10 Mac tahun lalu, Diana pernah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.
Farid dan Diana kemudiannya sah bercerai talak satu menerusi Google Meet pada 10 Ogos 2023 namun, kembali rujuk semula selepas 21 hari.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora yang kini berusia 9 tahun.