Pelakon berpengalaman, Fauziah Ahmad Daud pernah berdepan dengan cabaran semasa di awal penghijrahannya dahulu.
Artikel Berkaitan: Fauziah Ahmad Daud Syukur 4 Tahun Jadi Sukarelawan Yayasan Ammirul Ummah, Sasar Agih Sejuta Al-Quran – ‘Ia Bawa Perubahan Besar’
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Ogy Ahmad Daud Pernah Digam 4 Tahun Akibat Cinta Terhalang – ‘Macam-Macam Perkara Diperlakukan Kepada Saya’
Petunjuk daripada Allah
Ketika ditemui OhBulan!, Fauziah atau lebih mesra disapa Ogy berkata, dia mula terbuka hati untuk mengenakan hijab ketika pulang dari Tanah Suci pada tahun 2000.
Menurut Ogy, dia bersyukur kerana tidak pernah terfikir untuk menanggalkan hijab dan masih istiqamah sehingga ke hari ini.
Alhamdulillah hati tidak berbolak balik (untuk menanggalkan tudung), mungkin kerana saya dapat petunjuk di hadapan pintu Kaabah, pada akhir bulan Ramadan, selepas melakukan qiamullai dan tawaf.
Ketika itu saya dapat petunjuk untuk berhijab dan saya mendapat satu perasaan ibarat saya dilahirkan semula.
Dalam masa yang sama, aktres berusia 62 tahun itu masih tidak dapat lari dari kritikan meskipun telah melakukan penghijrahan besar di dalam hidupnya.
Semasa saya pulang (ke Malaysia) saya tak faham mengapa kekecohan berlaku kerana saya berhijab.
Ramai yang mempersoalkan tentang tindakan saya berhijab. Adakah saya jahat sangat sehingga tidak boleh berhijab? Walhal saya tidak pernah merosakan rumah tangga orang, ganggu periuk nasi orang atau buat benda mengarut.
Apabila saya berhijab, banyak kata-kata negatif yang dilemparkan kepada saya tetapi saya pegang kepada satu iaitu, ‘aku pelik mengapa manusia menghina aku sedangkan Allah yang mencipta aku tidak langsung menghina aku.’
Ogy berkata demikian pada majlis Pelancaran Program Sayangi Al-Quran: Mencintai dan Menyebarkan Cahaya Al-Quran ke Seluruh Alam yang berlangsung di Hotel Grand Barakah, Ampang pada Isnin.
Ogy positif
Bagaimanapun, pelakon filem Azura tersebut tetap bersikap positif walau ada pihak yang kurang senang dan mempertikaikan penghijrahannya.
Dia tahu saya bukan manusia sempurna dan banyak dosa. Tipulah kalau tidak pernah rasa sedih, tetapi saya adalah seorang manusia yang tidak pernah ‘overthinking’ tentang kehidupan.
Orang boleh buat apa sahaja tetapi saya tak reti berdendam. Saya tidak mahu mati bermusuh.
Saya sudah melalui pelbagai ujian, dihina, dimaki, dicaci dan disaman, tetapi saya reda dengan pertolongan Allah dan berkat doa orang lain juga.