Penyanyi baharu, Hadie Elfardie yang juga anak kepada penyanyi nasyid terkenal, Allahyarham Suhaimi Saad (bekas anggota kumpulan Inteam), kini melangkah ke dunia seni dengan lebih serius apabila menerima tawaran daripada produser terkenal, Jaja Ishak, untuk membintangi filem pendek berjudul Antara Dua Darjat.

Artikel Berkaitan: Jaja Ishak Angkat Kisah Ibu Pilih Kasih Dengan Anak, Harap ‘Rahsia Kelabu’ Dapat Suntik Kesedaran

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Hadie Dakwa Pernah Jadi Mangsa Buli, Dedah Arwah Bapa Tidur Tak Nyenyak – ‘Saya Dicampak Dalam Kolam Ikan Keli’

Sudah berbincang panjang

Menurut Hadi, 17, dia bersyukur atas rezeki yang dikurniakan selepas menyertai sebuah program realiti nyanyian, baru-baru ini. 

Kata Hadi, sebelum membuat keputusan untuk menceburi industri hiburan, dia terlebih dahulu berbincang dengan ibunya yang juga pengurus peribadinya, Ina Naim, bagi menilai baik buruk langkah berkenaan.

Saya dan ibu berbincang panjang sebelum saya ceburi bidang ini. Bila ditimbang-timbang, lebih banyak kebaikan yang boleh diperoleh, jadi saya cuba.

Walaupun hanya berjaya ke peringkat akhir program realiti itu, saya bersyukur kerana ia membuka peluang untuk saya terus ke hadapan mencari rezeki.

Hadi mengakui walaupun dirinya lebih berminat dalam bidang lakonan, namun bakatnya ternyata lebih menonjol dalam bidang nyanyian.

Saya memang suka berlakon, kadang-kadang di rumah pun saya berlakon dengan ibu. Tapi saya tahu nyanyian itu kekuatan saya. Jadi bila ada peluang berlakon, saya terima untuk mencuba.

Rezeki mencurah

@ohbulanofficial

Penyanyi baharu, Hadie Elfardie yang juga anak kepada penyanyi nasyid terkenal, Allahyarham Suhaimi Saad (bekas anggota kumpulan Inteam), kini melangkah ke dunia seni dengan lebih serius apabila menerima tawaran daripada produser terkenal, Jaja Ishak, untuk membintangi filem pendek berjudul Antara Dua Darjat #ohbulan #kinitrending #antaraduadarjat #hadie #suhaimisaad

♬ original sound – OHBULAN! – OHBULAN!

Sementara itu, Ina yang juga bekas penyanyi dan pelakon memaklumkan, sebaik tamat program realiti berkenaan, rezeki Hadi semakin mencurah apabila menerima pelbagai tawaran, termasuk daripada Jaja Ishak Channel yang bakal menggandingkannya dengan Qadejah El Zahra, anak kepada usahawan terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri.

Syukur, selepas program itu tamat, ada beberapa rezeki yang datang. Saya sebagai pengurus sedang menyusun jadual Hadi.

Tawaran daripada Jaja Ishak Channel datang pada waktu yang tepat, dan dalam filem pendek itu Hadi akan digandingkan dengan Qadejah El Zahra atau Cess.

Selain itu, menurut Ina, faktor sudah lama mengenali Jaja turut memudahkan kerjasama kali ini kerana mereka saling memahami cara kerja dan prinsip masing-masing.

Saya kenal Jaja sudah lama kerana Jaja sahabat arwah Suhaimi di bangku sekolah, mereka memang rapat. Jadi bila dia tawarkan projek ini, saya rasa tenang sebab dia tahu batas kami dan cara kami bekerja.

Arwah dulu pun sangat menghormati Jaja sebagai sahabat yang sentiasa menyokong, jadi bila Hadi dapat peluang ini, rasa macam meneruskan legasi yang arwah tinggalkan.

Tambah Ina, buat masa ini mereka memilih untuk memberi tumpuan kepada bidang lakonan terlebih dahulu sebelum melancarkan single pertama Hadi.

Ina turut menegaskan bahawa pengalaman hidup bersama arwah suaminya banyak mengajarnya untuk lebih berhati-hati dalam menguruskan perjalanan karier anaknya.

Saya tak mahu Hadi popular tanpa pengisian. Saya mahu dia dikenali dengan bakat dan nilai yang baik. Dia masih muda, jadi saya pantau setiap langkahnya. Insya-Allah bila dia sudah pandai bawa diri, saya akan beri lebih ruang.

Aura di media sosial

Sementara itu, Jaja Ishak berkata, idea untuk menampilkan Hadi tercetus selepas melihat sambutan positif dan aura yang ditunjukkan oleh penyanyi muda itu di media sosial.

Kami lihat ramai yang suka dengan personaliti Hadi dan peserta lain dari program itu. Jadi saya ambil peluang untuk bekerjasama dengan dia dan Ina. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.

Jaja turut memaklumkan bahawa filem pendek berjudul Antara Dua Darjat itu bakal ditayangkan di platform media sosial sebelum penghujung November ini.

Jelasnya, filem ini mengisahkan percintaan antara dua individu daripada latar belakang berbeza yang menghadapi tentangan keluarga. Ia sebuah kisah ringan tetapi menyentuh hati.