Semalam, pelakon dan pelawak Ali Puteh berkongsi video memaparkan dirinya hadir ke rumah balu Allahyarham Abam iaitu Nor Hidayah Hamzah untuk membayar tuntutan saman bernilai RM75,000.
Namun begitu, tindakan Ali itu dilaporkan tidak berjaya selepas pihak kakak iparnya dikhabarkan tidak mahu menerima wang yang diserahkan pelawak berusia 35 tahun itu.
Artikel Berkaitan: Ali Puteh Selesai Bayar Hutang Hidayah RM75,000 – ‘Kalau Ada Perkara Berbangkit, Saya Tak Teragak-Agak Ambil Tindakan’
Hidayah minta bayar melalui peguam
View this post on Instagram
Menerusi hantaran video dimuat naik Hidayah di Instagram (IG), difahamkan urusan pembayaran tuntutan saman tersebut tidak berjaya kerana pihak Hidayah mahu Ali membuat pembayaran tersebut di hadapan peguam.
Walau bagaimanapun, Ali juga tidak bersetuju dan meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap permintaan tersebut.
Saya dah datang sini dengan cara baik kenapa perlu buat (pembayaran) melalui peguam?
Apa yang nak dipeguam-peguamkan? Kita kan berkeluarga.
Ali kemudiannya menghubungi peguam yang mewakili Hidayah untuk membincangkan lebih lanjut tentang pembayaran hutang tersebut.
Melalui perbualan telefon tersebut, peguam yang mewakili Hidayah meminta Ali untuk mengatur satu tarikh dan hadir ke pejabatnya bagi berbincang secara lanjut mengenai pembayaran.
Encik Ali beritahu saja pada saya pukul berapa nak datang pejabat saya esok (Rabu) dan kita akan uruskan hal pembayaran tuntutan tersebut.
Di akhir perbualan, Ali dilihat menitipkan ucapan maaf kepada peguam berkenaan sekiranya ada terkasar bahasa sepanjang empat tahun mereka berdepan dengan konflik tersebut.
Terdahulu, Ali atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan berkongsi video dirinya hadir ke rumah Hidayah bagi melangsaikan tuntutan saman bernilai RM75,000.
Ali dan ahli keluarganya dilihat turut sebak ketika beramah mesra dengan anak saudaranya, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey selepas hampir empat tahun tidak bersua muka.
Sekadar info, Ali terpaksa menjual tujuh trofi kemenangannya bagi mendapatkan wang untuk melunaskan hutang kakak iparnya.
Antara trofi yang dijual termasuklah trofi program realiti Maharaja Lawak Mega, Muzikal Lawak Superstar, Projek Komedi Warna dan beberapa lagi.
Selain itu, Ali turut menjual motosikal jenis RXZ berwarna merah dan kereta Honda Accord berwarna putih miliknya.
Pada 18 Februari 2022, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan Ali dan tiga ahli keluarganya membayar RM60,000 kepada balu Abam Bocey, Hidayah kerana mengeluarkan kata-kata mengaibkan wanita itu di Instagram, dua tahun lalu.
Sumber: Instagram Hidayah