Demi melihat kebahagiaan ibu, penyanyi Ismail Izzani menggalakkan bonda tercintanya untuk mendirikan rumah tangga buat kali kedua.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Ismail Izani Sedih Ibu Bapa Berpisah, Galas Tanggungjawab Anak Lelaki Tunggal – ‘Setiap Perkara Yang Berlaku Mesti Ada Sebabnya’
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Suliza Salam Tamat Zaman Janda, Kembali Bergelar Isteri
Minta ibu kahwin semula
Ketika ditemui OhBulan!, Ismail atau nama lengkapnya Izzani Zainal Nazeri berkata, dia yang meminta ibunya untuk berkahwin semula selepas melihat keserasian mereka malah keluarga juga merestui perhubungan tersebut.
Sebenarnya saya yang suruh mama kahwin. Saya cakap, lebih baik mama teruskan hubungan ini sebab masing-masing sudah saling kenal dan bekerjasama.
Saya berbincang dengan kakak dan adik-beradik lain, semuanya setuju dan gembira untuk mama.
Walau bagaimanapun, penyanyi berusia 25 tahun itu memberitahu ibunya gusar untuk kembali bergelar isteri pada awalnya.
Mama sebenarnya takut nak kahwin lagi. Dia rasa seperti tak yakin untuk mulakan kehidupan baru sebagai isteri sekali lagi.
Tetapi saya katakan kepada mama, perkahwinan ini mungkin membuka rezeki lain. Semua ahli keluarga menyokong keputusan tersebut.
Ismail berkata demikian ketika ditemui di majlis Lebaran Era Leeyana Rahman Fashion
Show yang berlangsung di Stadium Merdeka pada Isnin.
Ismail gembira untuk mama
Dalam masa yang sama, Ismail meluahkan rasa bahagia dengan kehidupan bersama keluarga baharu selepas melihat pelbagai cabaran yang ditempuhi ibunya sebelum ini.
Saya sangat-sangat gembira. Tak cukup kata untuk menggambarkan perasaan ini. Dengan kehadiran bapa tiri dan abang tiri, keluarga kami kini lebih besar dan lengkap.
Mama layak untuk bahagia. Saya tahu betapa sukarnya perjalanan hidup dia sebelum ini, dan sebagai anak manja, saya selalu ada bersama dia.
Sementara itu, pelantun lagu Luar Biasa tersebut juga menyifatkan bapa tirinya sebagai seorang lelaki yang budiman malah hubungan mereka sangat akrab.
Dia (bapa tiri) pula seperti mentor bagi saya. Ketika saya nak mula buat muzik, dia hadiahkan saya sebuah laptop.
Sokongannya amat bermakna dan saya takkan lupakan jasa dia. Kami kini lebih banyak luangkan masa bersama.
Terdahulu pada 22 Disember lalu, penyanyi era 1980-an, Suliza Salam selamat mendirikan rumah tangga bersama pilihan hati, Ismail A. Samad.
Untuk rekod, Suliza bernikah dengan ahli perniagaan terkenal iaitu Datuk Zainal Nazeri Zainuddin pada 11 Januari 1991. Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Nurizzati, Nur Falahi dan Ismail Izzani.
Bagaimanapun pasangan itu tidak pernah berkongsi mengenai perpisahan mereka sehingga sekitar tahun lalu, Ismail mengesahkan perceraian ibu bapanya.