Sama seperti Ziana Zain, pelakon iaitu Datuk Jalaluddin Hassan menegaskan bahawa dia bukanlah suspek namun hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini hanya untuk membantu siasatan.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Saya Dipanggil SPRM Untuk Bantu Siasatan, Bukan Sebagai Suspek’ – Ziana Zain
Artikel Berkaitan: Kes Sindiket Pengurusan Wang: Ziana Zain, Jalaluddin Hassan & Sheikh Muszaphar Shukor Hadir Di SPRM Beri Keterangan
‘Saya di sana atas jemputan sebagai saksi’
Ketika ditemui OhBulan!, Jalaluddin berkata, dia juga mendapat layanan yang sangat baik sepanjang memberi kerjasama untuk membantu siasatan.
Tambah Jalaluddin, tiada istilah dirinya mengikut pintu belakang ketika memberikan keterangan seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Saya di sana atas jemputan sebagai saksi, tiada istilah ikut ‘pintu belakang’. Kami diarah untuk tunggu dalam kereta dan selepas itu kami dibawa oleh pegawai SPRM.
Kita datang rumah orang kan? Jadi kita ikut arahan orang lah. Saya pun hanya datang sebagai saksi dan beri kerjasama kepada mereka. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar.
Mereka sangat peramah, Alhamdulillah.
Jalaluddin berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada sesi sidang media Tayangan Perdana Ramadan Raya Astro 2025 yang diadakan di The Ground, Kuala Lumpur pada Khamis.
Dah berhati-hati
Bercakap mengenai penglibatannya sebagai duta, pelakon drama ‘Nur’ ini memaklumkan dia hanya melakukan libat urus yang berkaitan dengan pemasaran sahaja.
Saya sudah berhati-hati pun, kita pun tak kenal syarikat itu. Kita dipelawa oleh orang tengah untuk bersama-sama dengan syarikat. Kita pun ada bertanya fungsi dan apa tanggungjawab saya.
Tugas saya hanya buat posting dan ambil gambar untuk promosi saja. Saya pun tak nak cakap lebih sebab kes masih dalam siasatan.
Kemudian saya dapat mesej daripada orang tengah saya beritahu yang saya perlu ke SPRM untuk beri keterangan. Saya pun sendiri tak tahu transaksi syarikat mereka. Sebab tugas saya pun hanya diminta untuk promosi saja.
Pada 6 Februari lalu, Jalaluddin bersama dua selebriti tanah air iaitu Ziana Zain dan Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor hadir ke ibu pejabat SPRM bagi memberi keterangan berhubung kes berkenaan.
Siasatan berkenaan dilakukan susulan penahanan sekurang-kurangnya 27 individu termasuk lapan pengarah syarikat dan 18 pegawai bank oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) dalam Ops Sky hasil kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM).
Difahamkan kesemua selebriti terbabit dilaporkan menerima bayaran sekitar RM150,000 hingga RM400,000 daripada syarikat terbabit yang bertindak sebagai duta.
Lebih mengejutkan apabila hasil siasatan SPRM turut mendapati sindiket itu turut melabur sejumlah wang yang besar bagi penciptaan lagu membabitkan penyanyi tersohor negara.