Pelakon senior, Datuk Jalaluddin Hassan tenang ketika menjawab mengenai isu antara selebriti yang bakal dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan dalam operasi Ops Sky.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Didakwa Bakal Dipanggil SPRM, Ziana Zain Enggan Beri Komen – ‘Kak Gee Hanya Menyanyi Je, Sayang’
Jamal terkejut isu SPRM muncul
Ketika ditemui OhBulan!, Jalaluddin akui terkejut apabila timbul kontroversi ini. Bagaimanapun, Jalaluddin, 70, menekankan dia hanya bertindak sebagai duta dan masih belum menerima sebarang panggilan daripada pihak berkuasa setakat ini.
Saya hanya duta sahaja untuk hasilkan video dan mempromosikan syarikat itu. Itu sahaja tugas saya dan tidak lebih daripada itu.
Bila isu ini timbul, saya agak terkejut. Pihak mereka berkata pada saya, kami sebagai duta tidak terkesan apa-apa.
SPRM juga belum hubungi saya. Tetapi jika dihubungi untuk beri kerjasama, sudah tentu saya akan lakukannya. Tiada masalah, kami boleh kerjasama. Setakat ini belum ada apa-apa lagi.
Jalaluddin berkata demikian ketika ditemui pada majlis Bulan Bintang Sedekad Menyinar di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada malam Ahad.
‘Saya hanya diberikan tugas sebagai duta’
Dakwa Jalaluddin, tiada sebarang aktiviti mencurigakan sepanjang dia bergelar duta kepada syarikat pengurusan kewangan berkenaan.
Saya hanya diberikan tugas sebagai duta dan promosikan di media sosial.
Saya agak terkejut sebab selama saya bekerjasama dengan mereka tiada sebarang masalah. Semuanya baik-baik saja.
Bila saya tanya kepada mereka macam mana kewangan mereka dari dulu hingga kini, semuanya puas hati dan tiada yang mencurigakan.
Dalam pada itu, ditanya mengenai dakwaan menerima bayaran sebanyak RM400,000, bekas hos Who Wants to Be a Millionaire? menafikan dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.
Alangkah bertuahnya saya mendapat wang sebanyak itu. Saya tidak mahu cerita dan menafikan perkara itu.
Biarlah pihak berkuasa menyiasat. Saya lihat reaksi pihak syarikat pengurusan kewangan mereka tenang sahaja. Saya harap semuanya dapat dijernihkan.
Terdahulu, nama Jalaluddin dipetik sebagai antara selebriti yang bakal dipanggil oleh SPRM bagi membantu siasatan dalam operasi Ops Sky.
Jalaluddin dipilih menjadi salah seorang duta syarikat sejak setahun lalu bersama angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor dan penyanyi, Ziana Zain.