Sebelum ini, kita sudah membincangkan mengenai punca penularan, trend kes dan mitos berkaitan virus HIV (Human Immunodeficiency Virus).
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Fakta : Golongan Biseks Penyumbang Terbesar Kes HIV Di Malaysia & Penderita HIV Sebenarnya Boleh Kahwin
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Pendidikan Seksual Menurut Perspektif Islam: Kepentingan Membentuk Pemahaman Beretika Dalam Diri Kanak-Kanak
Pencegahan awal & rawatan
Kali ini pula bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai langkah pencegahan terhadap penyakit yang berpotensi memberi kesan buruk kepada populasi terutama golongan anak muda.
Pencegahan awal HIV dan rawatannya adalah sangat penting dalam usaha untuk mengurangkan penyebaran dan memastikan penderita virus ini dapat menjalani kehidupan dengan baik.
Oleh itu, pada bahagian kedua ini, Dr. Izzar Anwari yang bertugas di Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sektor kawalan HIV, STI dan Hep C akan menerangkan mengenai langkah pencegahan daripada mendapat virus HIV.
Untuk individu yang tidak menghidap HIV, adalah penting untuk mengetahui langkah pencegahan. Perkara ini berbalik kepada punca berlakunya HIV iaitu hubungan seksual, berkongsi jarum, pendermaan darah atau organ dan ibu kepada anak.
Semua individu perlu mengelakkan melakukan hubungan seksual yang tidak selamat. Maksudnya seperti sering bertukar pasangan atau tidak menggunakan kondom, itu punca HIV menular.
Seterusnya, berkongsi jarum dalam kalangan penagih dadah adalah amat berbahaya. Ibu hamil pula perlu mendapat nasihat doktor dan dapatkan rawatan sebaik mungkin.
Untuk yang tidak menghidap HIV tetapi menjalani kehidupan berisiko juga dinasihatkan untuk lakukan ujian saringan. Kehidupan berisiko seperti sering bertukar pasangan dan lakukan seks tanpa kondom. Buat ujian setiap tiga hingga enam bulan sekali.
Jika mahu membuat penilaian risiko untuk tahu risiko mendapat HIV tinggi atau rendah boleh ke laman sesawang testnow.com.my.
OhBulan: Adakah dengan memakai kondom ketika melakukan hubungan seksual dapat merendahkan risiko dijangkiti HIV?
Kalau gunakan kondom ketika melakukan hubungan seksual, risikonya amat rendah dapat HIV. Ini kerana tidak berlaku pencampuran cecair lelaki dan cecair faraj.
Tutur Dr. Izzar lagi, mana-mana individu yang mempunyai risiko boleh membuat pemeriksaan awal di klinik kesihatan atau melakukan ujian kendiri menerusi laman sesawang testnow.com.my.
Di Malaysia, sebelum seseorang perlu mendapatkan rawatan dia perlu menjalani pemeriksaan HIV terlebih dahulu. Saringan ujian HIV boleh dilakukan di mana-mana sahaja, tidak kisah klinik swasta, hospital kerajaan mahupun privasi.
Selain itu, boleh juga lakukan saringan kendiri atau ‘self test’. KKM ada bekerjasama dengan Majlis AIDS Malaysia dan Yayasan AIDS Malaysia untuk wujudkan satu laman sesawang iaitu testnow.com.my di mana ‘client’ boleh melakukan saringan HIV secara percuma di website tersebut.
Ibarat pepatah ‘setiap penyakit pasti ada penawarnya’, Dr. Izzar memberitahu, penderita HIV perlu atau dalam nada tegas, ‘wajib’ mengambil ubat bagi pengawal virus HIV dengan mengikut saranan pakar perubatan.
Kuantiti ubat yang diambil banyak atau sikit bergantung kepada pesakit itu sendiri. Pesakit selalunya bukan ambil ubat untuk HIV sahaja, mungkin dia menghidap penyakit-penyakit alat kelamin lain.
Perlu melihat kepada kes. Ini kerana pesakit HIV imune badan mereka sangat lemah dan mudah untuk dijangkiti penyakit yang lain.
Dalam pada itu, Dr. Izzar berkata penderita HIV yang berusia 18 tahun ke atas mempunyai pilihan sama ada ingin memaklumkan kepada keluarga atau menyimpan sendiri ‘rahsia terbesar.’
Bagi pesakit yang berusia 18 tahun ke atas, mereka sudah mempunyak hak untuk tidak maklumkan kepada ibu bapa. Mengikut akta kanak-kanak, umur 18 tahun ke bawah yang perlu maklum dan minta kebenaran ibu bapa untuk sebarang hal serta urusan.
Tujuan ibu bapa perlu tahu adalah untuk menjadi sistem sokongan kepada anak supaya mereka tidak sedih atau murung.
OhBulan: Apakah antara program yang giat dijalankan bagi membendung gejala HIV?
Dr Izzar: Kerajaan amat menekankan kepada orang awam tentang kepentingan kesihatan. Maksudnya tentang apa itu HIV, bagaimana mahu cegah, bagaimana boleh dijangkiti dan sebagainya.
Berdasarkan statistik yang ada, peratus terbesar disumbangkan oleh golongan belia. Jadi program yang dijalankan menyasarkan kepada golongan belia.
Program Sihat Tanpa AIDS untuk remaja. Program ini akan pergi ke sekolah-sekolah seluruh Malaysia termasuk sekolah rendah dan menengah. Ada juga perancangan untuk masuk ke universiti.
Program kedua adalah laman sesawang testnow.com.my yang dilancarkan pada hari AIDS sedunia pada tahun lalu. Melalui lawan sesawang ini, sesiapa sahaja boleh membuat penilaian risiko untuk memeriksa sama ada mereka berisiko rendah atau tinggi dijangkiti HIV.
Dengan menggunakan sistem di laman sesawang, ia membolehkan pengguna menempah ujian kit HIV yang akan dihantar ke rumah. Program ini merupakan kerjasama KKM dengan Yayasan AIDS Malaysia serta Majlis AIDS Malaysia.
Ketiga, akan ada wakil KKM pergi ke lapangan berjumpa dengan pesakit. Kami faham ada dalam kalangan pesakit yang takut untuk pergi ke klinik kesihatan dan hospital.
Keempat adalah program PrEP. Program ini memberi rawatan pencegahan kepada klien yang tidak mempunyai HIV tetapi mempunyai risiko tinggi. Program ini sudah mula sejak 2023 dan sehingga sekarang sudah ada 31 klinik kesihatan menawarkan PrEP di Malaysia.
PrEP adalah ubat yang perlu diambil oleh klien berisiko iaitu klien yang melakukan hubungan seks tidak selamat. Apabila mereka ambil ubat ini, transisi seksual akan berkurangan sebanyak 99 peratus.
Sebagai penutup bicara, Dr. Izzar menitipkan nasihat kepada golongan anak muda supaya menjaga diri dan kesihatan dengan sebaiknya terutama golongan remaja yang suka terjebak dalam gaya hidup tidak sihat.
Kepada anak muda di luar sana, jika kalian melakukan aktiviti yang berisiko tinggi dinasihatkan untuk melakukan ujian pemeriksaan HIV. Boleh buat ujian sendiri di rumah.
Kepada yang menghidap HIV atau HIV positif, jangan takut dan teruskan kehidupan. Makan ubat dan ikut nasihat doktor. Kepada yang tidak ambil ubat, tolong ambil ubat supaya anda tidak sampai ke tahap AIDS.
Buat ibu bapa, tolong pantau anak anda terutama golongan remaja dan ambil tahu keberadaan mereka. Didik juga anak-anak mengenai ilmu tentang jangkitan HIV supaya mereka boleh cegah diri.
Tidak hanya golongan remaja, Dr. Izzar turut berpesan kepada masyarakat supaya menghentikan stigma buruk terhadap penderita HIV kerana dia percaya setiap manusia berhak mendapat peluang kedua.
Kepada masyarakat di luar sana, jangan diskrimisi atau stigma tidak baik terhadap golongan yang hidap HIV. Mereka juga manusia dan layak untuk teruskan kehidupan di muka bumi ini.
Bersempena bulan November ini, OhBulan x Seismik telah melancarkan kempen ‘Peduli Seks: Tabu Tapi Perlu Tahu’.
Kempen ‘Peduli Seks: Tabu Tapi Perlu Tahu’, yang bermula 1 November hingga 30 November ini adalah bertujuan untuk memupuk pemahaman dan keterbukaan mengenai isu-isu seksualiti, terutamanya dalam kalangan komuniti Melayu.
Sebuah mikrosite khas di says.com/peduliseks disediakan yang akan bertindak sebagai pusat digital kempen ini. Laman tersebut akan mengandungi pelbagai maklumat kempen, termasuk ruang untuk berkongsi cerita secara anonim dan kerjasama dengan NGO yang berkaitan.
Dengan hashtag #PeduliSeks, kempen ini juga akan memanfaatkan platform media sosial bagi meningkatkan interaksi dan menjangkau lebih ramai masyarakat.