Arwah Siti Sarah pernah memberitahu kepada rakan media bahawa dia sangat mengidolakan Siti Khadijah RA dalam kehidupannya. Sifat dan keperibadian yang dimiliki oleh isteri baginda Rasulullah S.A.W itu merupakan contoh teladan yang terbaik buat dirinya untuk berusaha ke arah kebaikan hari demi hari.
Jangan jatuhkan kaum wanita
Jika hendak dibandingkan dengan kaum lelaki, wanita memiliki keistimewaan tersendiri. Wanita mempunyai kelebihan untuk mengandung, melahirkan dan menyusukan anak. Kelebihan ini tiada pada mana-mana lelaki sekali pun. Sebab itu, Rasulullah mengutamakan kedudukan seorang ibu sebanyak tiga kali, kemudian baru diikuti dengan bapa. Jelaslah, wanita itu lebih dimuliakan kerana banyak pengorbanan yang terpaksa dilalui oleh seorang wanita. Walau bagaimanapun, pengorbanan itu mampu menjadi sebab kepada kemasukan wanita ke dalam syurga.
Menerusi rakaman video berdurasi 1:13 saat, arwah Siti Sarah memilih Siti Khadijah sebagai ikon pilihannya semasa Hari Wanita Seluruh Dunia pada tahun 2019. Menurut arwah, dia tidak suka sekiranya ada orang cuba untuk menjatuhkan kaum wanita. Ini kerana, Rasulullah S.A.W sendiri sangat mengangkat darjat kaum wanita dan berpesan kepada umatnya agar sentiasa berbuat baik terhadap kaum wanita.
Buat pengetahuan korang, setelah kedatangan agama Islam, kezaliman dan keganasan terhadap kaum wanita dihapuskan. Martabat dan kedudukan wanita sebagai ibu, isteri dan anak telah diangkat tinggi darjatnya dalam agama Islam dan hak-hak mereka diberikan dengan sewajarnya seperti hak memiliki dan mengurus harta, mewarisi harta pusaka dan seumpamanya yang sekaligus membawa satu perubahan yang amat besar dan sangat signifikan terhadap status wanita.
Ucapan yang menyentuh perasaan
Di akhir sesi temuramah tersebut, arwah berdoa agar setiap urusan kaum wanita di negara ini dipermudahkan. Arwah juga sempat memberi pesanan kepada semua wanita agar jangan sesekali berhenti berjuang dalam apa jua keadaan sekalipun.
Sumber: Amiera Lee