berita

[VIDEO] Kaki Tak Jejak Tanah, Kanak-Kanak Buat ‘Wheelie’ Atas Jalan Raya Kena Saman

November 9th, 2020 | by Shahira
Video Popular

Baru-baru ini kecoh satu video di media sosial memaparkan seorang kanak-kanak di bawah umur menunggang motosikal jenis Honda EX5. Lebih mengejutkan apabila melihat kanak-kanak yang memiliki tubuh badan yang kecil itu turut melakukan aksi berbahaya ketika berada di jalan raya.

Siap nak ‘wheelie’ lagi


Menerusi video berdurasi 0:18 saat itu memaparkan, seorang kanak-kanak lelaki yang memakai tshirt berwarna merah sedang berada di simpang untuk melintas jalan. Disebabkan kakinya tidak sampai menjejak ke tanah, jadi dia terpaksa berdiri di bahagian hujung tempat duduk untuk mengimbangkan motosikal tersebut.

Sebelum menyeberang jalan, sebuah kereta jenis pacuan empat roda yang baru sahaja memasuki simpang Kampung Paya Cegar, Jitra seakan ‘menegur’ tindakan kanak-kanak terbabit. Tidak menghiraukan ‘teguran’ tersebut, kanak-kanak itu kemudian melintas jalan sambil membuat ‘wheelie’. Video tersebut sempat dirakam oleh orang awam yang melalui kawasan tersebut sebelum ianya tersebar di media sosial.

Kanak-kanak dan waris diambil tindakan

Susulan daripada itu, menerusi laporan yang dipetik daripada Harian Metro, Pengarah JPJ Kedah, Ismasuhaimi Shariff berkata, pihak mereka telah mengenalpasti pemilik motosikal terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd. Ismail Ibrahim memaklumkan kepada Kosmo, kanak-kanak yang berusia 10 tahun itu dan warisnya yang telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu turut dikenakan tindakan undang-undang.

Kanak-kanak lelaki yang berusia di bawah 10 tahun itu dikenakan tindakan di bawah kesalahan lalu lintas iaitu menunggang motosikal di bawah umur, cukai jalan tamat tempoh, tiada perlindungan insurans serta tidak memakai topi keledar.

Manakala waris kanak-kanak tersebut diambil tindakan di bawah Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana membenarkan pemandu bawah umur memandu kenderaan bermotor.

Dalam pada itu, ibu bapa dinasihatkan supaya menjaga dan mengawasi pergerakan anak-anak terutamanya semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

Sumber: Harian Metro, Kosmo, Facebook

SKIP THIS AD ×