Pelakon, Linda Hashim memilih untuk mengunci mulut dan tidak mahu memberikan sebarang komen terhadap dakwaan mengatakan keganasan rumah tangga dan kehadiran orang ketiga menjadi punca dirinya memfailkan cerai terhadap suami, Beego.
Artikel Berkaitan: Proses Perceraian Linda Hashim & Beego Ditangguh 6 Mac – ‘Serahan Notis Kepada Defendan Tidak Berjaya’
Artikel Berkaitan: Beego, Linda Hashim Akui Sudah Bercerai Tapi Rujuk Semula Dalam Tempoh Edah
‘Boleh tanya Beego’
Tidak ingin memanjangkan cerita, Linda atau nama sebenarnya Norhazlinda Hashim berkata, soalan tersebut sebaiknya ditanya dan dijawab sendiri oleh Beego.
Itu boleh tanya Beego sendiri.
Saya tak nak komen lebih-lebih dan panjangkan cerita. Cukuplah apa yang saya lalui sebab semua saya dah rasa.
Linda berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada Khamis.
Perceraian kali ketiga
Bercakap mengenai perceraian, pelakon berusia 41 tahun itu memaklumkan dirinya sudah nekad untuk berpisah dengan Beego.
Dakwa Linda, sudah terlalu banyak peluang yang diberikan namun disia-siakan Beego.
Untuk makluman semua, ini adalah permohonan untuk bercerai kali ketiga yang telah dibuat.
Jadi, saya nekad untuk meneruskan perceraian kali ketiga ini.
Sebelum adanya kali ketiga ini kan adanya peluang pertama dan kedua? Jadi, (peluang) kali pertama dan kali kedua itu sepatutnya harus dijaga dan diperbaiki tetapi saya tak nampak (kebaikan).
Saya akui perceraian kali ketiga ini adalah keputusan yang sukar tapi ianya bersebab. Bagi saya, sekiranya saya teruskan perkahwinan ia sudah menjadi tidak ikhlas untuk saya.
Terdahulu, proses sebutan pertama kes penceraian melibatkan pasangan pelakon Linda Hashim dan Beego terpaksa ditangguhkan pada 6 Mac depan susulan ketidakhadiran Beego.
Penangguhan itu dibuat selepas pihak mahkamah tidak dapat menyerahkan notis tuntutan kehadiran Beego.
Sebelumnya, Linda disahkan memfailkan cerai terhadap suaminya itu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur atas alasan sudah tiada persefahaman.
Pada Mei 2023 lalu, Linda dan Beego hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak selepas mereka mencapai kata sepakat untuk rujuk semula pada 9 April 2023 selepas bercerai pada 27 Mac 2023.
Untuk rekod, Linda dan Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah mendirikan rumah tangga pada Jun 2013.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu tiga orang cahaya mata Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia, 6.