Pelakon, Fattah Amin mencuri perhatian apabila membuat kemunculan dengan melakukan sesi siaran langsung di TikTok selepas seminggu sah bercerai dengan bekas isteri, Nur Fazura Sharifuddin.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Sekiranya Saya Sudah Tiada Lagi, Saya Mahu Orang Kenal Saya Sebagai Muslim Yang Baik & Taat Pada Perintah Allah’
Terharu dengan sokongan peminat
Menerusi sesi siaran langsung tersebut, pemilik nama Abdul Fattah Mohd Amin berkata, tujuan dirinya melakukan sesi siaran langsung kerana ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan yang diberikan oleh peminat.
Tujuan saya buat sesi siaran langsung ini sebab nak bersembang dengan korang (peminat) dan ucapkan terima kasih pada korang.
Saya sebenarnya sangat terharu dengan sokongan yang diberikan anda.
Ketika ditanya mengenai keadaan dirinya ketika ini, pelakon filem ‘Pendekar Awang: Darah Indera Gajah’ menyatakan dia reda dengan apa yang telah berlaku.
Apa dah jadi ini semua adalah perkara yang kita tak jangka.
Jadi, kena reda dan sabar dengan apa yang telah terjadi.
Dapat berjumpa Fatima
Berkongsi mengenai keadaan anaknya iaitu Nur Fatima Aisya, Fattah memaklumkan dia sempat berjumpa dengan anaknya pada Jumaat dan bercadang mahu keluar bersama pada Ahad.
Walau bagaimanapun, hasrat itu tidak dapat diteruskan kerana keadaan kesihatan Fatima yang kurang baik.
Susulan itu, pelakon berusia 34 tahun ini meminta wargamaya yang menonton untuk mendoakan agar anaknya itu kembali sembuh.
Sekarang ini Fatima tak sihat, dia demam jadi doakan supaya anak saya cepat sembuh. Semalam (Jumaat) saya sempat tengok dia sekejap, kesian dia.
Saya baru ingat nak bawa dia jalan-jalan esok (Ahad) tapi tak dapat sebab dia masih tak sihat.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen menitipkan kata-kata semangat buat Fattah susulan penceraiannya dengan bekas isteri, Nur Fazura dan mendoakan agar Fatima cepat sembuh.
Menerusi tinjauan OhBulan!, sesi siaran langsung yang dilakukan Fattah berjaya mencuri perhatian sehinggakan meraih lebih 50,000 tontonan dan lebih 26,000,000 tanda suka.
Dalam pada itu, pelantun lagu ‘Wanita Terakhir’ memaklumkan dia sedang dalam persiapan menjalankan satu perniagaan yang akan dilancarkan dalam masa terdekat.
Terdahulu, Fattah dan Fazura sah bercerai talak satu sekitar pukul 9.45 pagi pada Isnin. Lafaz itu tersebut dibuat di hadapan Hakim Syarie, Abdul Malik Soleh.
Pada 13 September lalu, Fazura mengejutkan ramai apabila memfailkan permohonan cerai terhadap Fattah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.
Sekadar info, Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dan dikurniakan Nur Fatima yang kini berusia 4 tahun.
Sumber: TikTok Fattah Amin