Pelakon Mia Sara Nasuha mengakui terhimpit dengan persepsi orang ramai yang masih menganggap dirinya sebagai kanak-kanak meskipun usianya kini sudah mencecah 21 tahun.

Artikel Berkaitan: ‘Saya & Mia Sara Hanya Berkawan’ – Idan Aedan

Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Aqish & Ibu Buat Hal Sendiri, Kami Tak Kacau Orang’ – Puteri Balqis Buat Permohonan Maaf Kepada Mia Sara

‘Saya penat jadi budak-budak’

Ketika ditemui OhBulan!, Mia Sara Nasuha Muhammad Ridhuan menjelaskan bahawa walaupun usianya sudah kian meningkat tetapi persepsi orang ramai terhadap dirinya masih tidak berubah. 

Jelas Mia, kemungkinan imej sebagai pelakon cilik sudah terlalu sebati sehingga sukar buat orang ramai untuk melihat sisi matang dirinya.

Saya dah berusia 21 tahun tapi masih melekat pada perspektif orang bahawa saya masih kanak-kanak.

Saya dah tak nak jadi kanak-kanak walaupun badan saya bersaiz kecil. Saya tak suka dipandang sebagai kanak-kanak selamanya.

Saya penat jadi budak-budak, orang tak pandang serius terhadap saya.

Meskipun menikmati momen sebagai pelakon cilik, Mia bagaimanapun berpendapat sudah tiba masanya untuk semua pihak menerima hakikat bahawa dia kini telah dewasa.

Saya enjoy berlakon jadi kanak-kanak dan saya suka bila orang datang kepada saya beritahu yang saya ceriakan zaman kanak-kanak mereka dan sebagainya. 

Tapi saya rasa kita semua dah kena move on. Saya tak boleh selama-lamanya jadi kanak-kanak.

Mia berkata demikian ketika ditemui di sidang media drama TikTok berjudul FYP Macam VIP yang diadakan di McDonald’s Pantai Sentral Park Drive Thru pada Rabu.

‘Saya tak diberi peluang’

Tambah pelakon Geng Bas Sekolah ini lagi, tanggapan tersebut secara tidak langsung memberi kesan terhadap emosi dan kesihatan mentalnya.

Ya betul perkara ini mengganggu mental saya sebab bila orang pandang kita sebagai budak, orang tak pandang serius apa yang kita cakap, rasa.

Sebenarnya dari umur 15 tahun saya dah berjuang dengan masalah kesihatan mental. Saya tak sembunyikan perkara ini dan saya memang dah war-warkan juga.

Dalam pada itu, Mia percaya masih ada sisi lain dan bakatnya yang masih belum dilihat oleh mana-mana pihak. Hal ini kerana, dia mengakui langsung tidak diberikan peluang untuk mencuba watak lain selain kanak-kanak.

Saya memang tak boleh nak pilih watak dan sebagainya tetapi apa yang saya boleh lakukan adalah dengan buktikan kepada orang ramai bahawa saya bukan budak kecil lagi dan saya boleh cuba tukar perspektif orang lain terhadap saya.

Saya sangat berharap orang dapat melihat saya sebab saya boleh buat lebih, cuma saya tidak diberi peluang.

Ujar Mia, apa yang dilihat di skrin televisyen selama ini hanyalah sebahagian kecil daripada kemampuan yang dimilikinya.

Orang tak nampak potensi saya. Tiada saya pernah melihat diri saya yang sebenar, tiada sesiapa yang mencabar had kemampuan saya. 

Orang tak tahu apa yang saya boleh beri dan buat. Mereka tak tahu bakat apa yang saya boleh tonjolkan, sebab saya tak diberi peluang itu.

Orang hanya ingat saya budak kecil dan mampu berlakon sebagai budak sekolah. Tapi saya sebenarnya lebih daripada itu.

Dalam perkembangan lain, Mia terlibat dalam drama TikTok berjudul FYP Macam VIP bersama barisan pelakon lain seperti Rykarl Iskandar, Zaki Yamani dan Serra Kamal.