berita

Video Makan ‘Nasi Kosong’ Viral, Lelaki Ini Nafi Minta Simpati Orang Ramai

February 4th, 2021 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Baru-baru ini, viral di laman TikTok mengenai satu video yang menyaksikan seorang bapa hanya makan nasi kosong dan berlari ke dapur sebaik sahaja menyedari anaknya yang mesra disapa ‘adik’ merakam situasi tersebut.

Artikel berkaitan: Anak Tak Sengaja Rakam Video Bapa Makan Nasi Tanpa Lauk, Jawapan Si Bapa Undang Sebak

Menerusi laporan Harian Metro, lelaki yang dikenali sebagai Ngah Misnum itu meluahkan rasa terharu apabila netizen prihatin mengenai situasinya pada waktu itu. Namun, Ngah menegaskan bahawa dia tidak meminta simpati daripada netizen. Sebaliknya, mengharapkan doa agar terus diberi kesihatan yang baik demi mencari rezeki buat anaknya itu.

Ambil upah potong rumput

Menurut Ngah, dia dan anaknya iaitu Nik Aswan kini menetap di Kuala Nerus, Terengganu. Tambahnya, dia sudah dua kali berumah tangga namun kedua-dua perkahwinan tersebut kecundang di pertengahan jalan. Sebagai manusia biasa, Ngah menerima ketentuan takdir dan bersyukur kerana dikurniakan seorang cahaya mata dengan isteri pertama.

Saya berpisah dengan isteri pertama ketika Adik berumur setahun lebih dan sejak itu, saya yang menjaganya hingga kami jadi rapat dan tidak boleh berenggang. Pada Julai 2014, saya berkahwin kali kedua tetapi perkahwinan itu hanya bertahan selama lima tahun sebelum berpisah pada 18 November 2019.

Selepas berpisah, saya dan Adik tinggal bersama emak tetapi saya mengambil keputusan berpindah ke rumah sewa sejak Mac tahun lalu kerana mahu hidup berdikari.

Demi kelangsungan hidup, Ngah memberitahu dia mengambil upah sebagai tukang potong rumput. Ujarnya lagi, pekerjaan tersebut telah dilakukan olehnya sejak usia 15 tahun lagi.

Bahagia melihat anak depan mata

Disoal siapa yang menjaga anaknya sewaktu ketiadaannya di rumah, Ngah menjelaskan bahawa anak kecil tersebut perlu tinggal bersendirian di rumah tatkala, dia perlu keluar bekerja.

Memang risau meninggalkan Adik bersendirian di rumah tetapi saya terpaksa demi mencari rezeki. Disebabkan itu, saya membelikan telefon bimbit dengan elaun bulanan diperoleh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya dapat berhubung dengannya ketika berada di luar. Adik tidak pandai memasak tetapi dia tahu bagaimana melakukan kerja rumah seperti mencuci pinggan dan mengemas rumah. Jadi, sebelum keluar bekerja saya akan pastikan makanan Adik sudah tersedia.

Sebenarnya, ada dua sebab saya pilih hidup berdikari, pertama kerana enggan menyusahkan keluarga. Kedua kerana saya mahu belajar tunaikan amanah Allah (anak) dan membuktikan seorang ayah mampu membesarkan anak sehingga ke menara gading. Semoga impian saya itu termakbul.

Saya tahu Adik ada merakam video itu (video makan nasi) cuma tak sangka dia akan memuat naiknya di TikTok. Tiada niat pun untuk meraih simpati sesiapa kerana saya bersyukur dengan apa yang ada. Malah, saya menganggap diri saya sudah ‘kaya’ dan bahagia setiap kali berada di rumah kerana melihat Adik ada di depan mata.

Memandangkan negara masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Ngah memberitahu bahawa dia terpaksa berusaha keras demi mencari wang untuk keperluan anaknya. Berhubung video yang tular di laman sosial, Ngah berkata, dia dan anaknya berkongsi akaun TikTok yang sama. Namun, dia tidak menyangka anaknya itu telah memuat naik video tersebut. Ngah turut meluahkan rasa bahagia dapat hidup berdua bersama anaknya. Jelasnya, dia perlu menyelesaikan proses mendapatkan status kerakyatan bagi anaknya itu. Ini kerana, Nik dilahirkan di Thailand.

Sumber: Harian Metro

The following two tabs change content below.

SKIP THIS AD ×