Pelakon, Sharnaaz Ahmad, memilih untuk tidak terburu-buru mencari teman hidup sebaliknya menyerahkan urusan jodoh sepenuhnya kepada ketentuan Allah.

Artikel Berkaitan: Sharnaaz Ahmad Dakwa Giliran Pesakit Dipanggil Agak Lama Di Klinik – ‘Apa Doktor Buat Dalam Bilik?’

Seronok solo

Lima tahun membawa gelaran duda, Sharnaaz atau nama lengkap Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, 40, berkata, dia percaya jodoh yang terbaik akan datang pada waktu yang tepat.

Saya tidak tahu apa perancangan Allah, jika sudah ada jodoh boleh sahaja untuk saya bernikah. Namun, saya tetap bersyukur kerana Allah kurniakan saya pelbagai rezeki lain.

Saya belum berjumpa dengan yang sesuai. Bukan kata saya mencari yang ‘perfect 10’, tetapi saya percaya jodoh itu akan datang selari dengan waktunya.

Sebab kalau saya mencari, belum tentu orang itu akan sayang saya semula. Tetapi, jika orang itu sendiri datang pada kita, bermakna dia betul-betul sayang.

Sharnaaz berkongsi perkara itu ketika diminta mengulas mengenai aktor Fattah Amin yang bakal menamatkan zaman duda pada 14 September dan kenyataan yang dibuatnya sebelum ini berhubung jawatan sebagai ‘Presiden Duda’.

Aktor kelahiran Penang itu ditemui di majlis tayangan perdana filem Magik Rompak yang berlangsung di GSC IOI City Mall, Putrajaya pada Isnin.

Dalam pada itu, Sharnaaz mengakui ada beberapa wanita yang cuba mendekati dirinya, namun belum terbuka hati sepenuhnya untuk kembali memikul tanggungjawab sebagai seorang suami.

Jujur saya katakan yang mendekati itu ada dan ada juga yang saya mendekati mereka. Jika ada di hati saya akan beritahu.

Saya mengakui kini seronok dengan kehidupan yang sekarang (solo). Cumanya ada beberapa masalah sahaja jika hidup solo ini.

Masalahnya ketika sakit, Hari Raya, berbuka puasa dan beberapa lagi. Bila masa perlukan teman, tapi saya tak ada teman. Namun, sejujurnya saya okay sahaja, saya tak ada masalah, saya gembira sahaja

Tuhan bagi saya semua, macam-macam Allah bagi. Cuma, belum untuk bahagian itu sahaja (jodoh). Tapi kalau tak datang pun tak mengapa, saya tidak tergesa-gesa.

Dalam perkembangan lain, Sharnaaz muncul dengan naskhah baharu Magik Rompak yang bakal menerjah pawagam seluruh Malaysia pada 11 September ini.

Selain Sharnaaz, karya arahan Adrian Teh itu turut dibintangi Zul Ariffin, Nadhir Nasar, Amelia Henderson, Yasmin Hani, Fabion Loo, Miller Khan dan ramai lagi.