Berikutan wujudnya segelintir pihak yang lebih mementingkan pengikut di media sosial berbanding bakat, pelawak dan pelakon Joey Daud meluahkan kecewa melihat situasi tersebut selepas dia sendiri mengalaminya.
Artikel Berkaitan: Thamiera & Didi Astillah Terkandas Di Suku Akhir Famili Duo, Naqiu & Joey Pertama Kali Rangkul Juara Mingguan
Rasa kecewa
Ketika ditemui OhBulan!, Joey atau nama sebenarnya Zulkifli Daud menjelaskan bahawa, dia telah mengadakan perbincangan untuk sebuah program sebelum pihak atasan membuat keputusan untuk memilih selebriti yang mempunyai pengikut yang lebih ramai.
Kami sudah bermesyuarat hampir tiga minggu, namun bos mereka mahukan seseorang yang ada pengikut ramai di media sosial.
Ia adalah sebuah projek yang besar dan saya bukan kecewa kerana tidak dapat projek tersebut tetapi tindakan mereka terlalu memfokuskan terhadap perkara ini. Mereka tidak membantu kami.
Saya balik dan katakan kepada anak serta isteri, ‘mungkin ini masanya orang sudah tidak mahukan kita, mereka lebih percayakan pengikut daripada bakat.’
Menurut Joey situasi tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana industri hiburan memiliki ramai anak seni yang berbakat sedangkan populariti di media sosial boleh dimanipulasi.
Jadi saya bertanya pada diri saya juga, bagaimana jika perkara ini terjadi kepada Eman Manan? Sebab dia tidak ada pengikut di media sosial.
Saya sayangkan legasi akan datang, kalau orang lebihkan pengikut, bagaimana pula dengan bakat?
Pengikut orang boleh beli dan boleh ditipu, kemudian apa akan jadi dengan industri kita? Itu yang menyebabkan saya berasa amat sedih.
Anak seni kita mempunyai bakat yang sangat baik tapi ada pihak yang lebih percaya kepada pengikut, jadi saya sangat kecewa.
Joey berkata demikian ketika ditemui pada sidang media minggu keenam Famili Duo 4 yang berlangsung di Studio NTV7 Glenmarie, Shah Alam pada Ahad.
Bakat berbanding pengikut
Walau bagaimanapun, pelakon berusia 51 tahun itu berpegang kepada prinsip untuk tetap mendahulukan bakat bukan bilangan pengikut di media sosial.
Saya lebih percaya kepada organik daripada perkara ini. Buat masa ini saya masih berkeras tentang hal ini dan saya pegang moto hidup arwah bapa saya.
Saya bekerja untuk hidup tapi bukan hidup untuk bekerja. Jangan salahkan yang betul dan jangan betulkan yang salah.
Paling penting untuk saya apa pun yang kita buat, kita perlu bagi manfaat kepada orang.
Terdahulu, pelakon filem Gadis Jolobu The Movie itu meluahkan kehampaannya tentang situasi berkenaan menerusi podcast bersama kumpulan Bocey.