Hati ibu bapa mana yang tidak sedih apabila mengetahui anak yang dikandung selama sembilan bulan telah diculik hingga tidak mendengar khabar berita hampir 38 tahun.
Itu lah perasaan yang dialami oleh keluarga ini selepas kehilangan anak tercinta ketika usianya masih kecil lagi. Namun, penantian hampir empat dekad berakhir selepas keluarga ini berjaya dipertemukan semula dengan anaknya itu.
Sebaknya…
Menerusi laporan yang dipetik daripada Daily Mail, Su Bingde dan isterinya, Huang tidak menyangka penantian mereka selama empat dekad yang lalu akhirnya berbuahkan hasil selepas dipertemukan dengan anak kesayangan yang dilaporkan ‘hilang’ sejak dari tahun 1982 lagi. Menurut sumber, pasangan suami isteri ini tidak pernah berhenti berdoa menanti kepulangan si anak, Jin Shui yang telah diculik di kediaman mereka ketika usianya baru berusia dua tahun.
Selepas 38 tahun, pihak polis berjaya mengesan Jin Shui dengan bantuan pangkalan data DNA kebangsaan. Menerusi rakaman yang dikongsikan, pertemuan di antara ahli keluarga yang sudah lama terpisah ini mengundang rasa hiba. Bukan itu sahaja, turut kelihatan mereka menangis berpelukan antara satu sama lain melepaskan rindu yang sudah lama terpendam.
Mengimbau kembali detik hitam yang berlaku, sebelum kejadian mereka sekeluarga menjalani kehidupan yang bahagia sehinggalah pada tanggal 12 Mei 1982 semuanya berakhir. Ketika itu, Su Bingde telah keluar pergi ke rumah saudara sementara si isteri dan anak sedang nyenyak tidur tanpa mengunci pintu kerana bercadang ingin pulang pada malam tersebut. Tetapi disebabkan oleh perkara yang tidak dapat dielakkan, Su Bingde tidak pulang ke rumah pada malam itu.
Cuba cari anak tapi tak jumpa
Namun pada keesokan harinya, si ibu iaitu Huang diberitahu oleh anak perempuannya bahawa anak lelaki, Jin Shui sudah tiada di tempat tidurnya. Huang yang cemas terus menghubungi suaminya untuk memaklumkan tentang kejadian. Mereka kemudian meminta pertolongan orang kampung untuk mencari Jin Shui tetapi malangnya, anak kecil itu tidak ditemui. Tanpa berputus asa, mereka sekeluarga telah pergi ke bandar-bandar untuk menjejaki lokasi Jin Shui selain mengumpul maklumat mengenai penculikan tersebut.
Lebih meruntun hati apabila sepanjang pencarian, mereka yang hidup dalam serba kekurangan ini terpaksa berjalan kaki hanya untuk menjimatkan wang. Disebabkan insiden itu, Huang mengalami kesedihan yang teruk sehingga dia mula menderita dengan masalah mental. Menurut sumber, walaupun polis tempatan pada ketika itu sudah melancarkan siasatan terhadap kes penculikan Jin Shui, para petugas tidak dapat menyelesaikan kes tersebut kerana lokasi yang jauh dan maklumat yang agak terhad.
Hampir 40 tahun kemudian, ibu bapa yang sudah bergelar warga emas ini masih tidak putus harapan menanti kepulangan anak tersayang. Malah, Su sudah pun menyimpan duit untuk urusan pengebumiannya kelak tetapi harapan terakhir sebelum ‘pergi’, dia ingin bertemu dengan anaknya Jin Shui. Doa keluarga ini akhirnya terjawab selepas mereka diberitahu oleh polis telah berjaya menemui Jin Shui, yang kini merupakan lelaki berusia 40 tahun, yang dikenali dengan nama Li Guolin. Li yang sudah mendirikan rumah tangga memiliki dua orang anak lelaki dan kini tinggal di wilayah Hebei iaitu 686 batu dari tempat tinggal ibu bapanya. Su yang sangat gembira meluahkan rasa syukur dan tidak menyangka akan bertemu dengan anak, menantu dan cucu-cucunya. Berikutan daripada pertemuan itu, mereka sekeluarga bersama saudara-mara telah mengadakan jamuan.
Sumber: Daily Mail, The Sun