Pendidikan seksual merupakan ilmu yang perlu dipelajari supaya dapat membantu seseorang mengelakkan diri daripada menjadi mangsa seksual.
Bila bercakap mengenai masalah seksual terutama sekali di era globalisasi, dapat kita lihat isu ini turut melibatkan golongan kanak-kanak.
Kanak-kanak ini diibaratkan seperti kain putih yang suci lagi bersih, di mana di usia inilah mereka masih lagi belajar mengenai kehidupan dan persekitaran mereka.
Bersempena bulan November ini, OhBulan x Seismik telah melancarkan kempen ‘Peduli Seks: Tabu Tapi Perlu Tahu’.
Bagi edisi kali ini, OhBulan! berpeluang menemu bual pendakwah bebas, Datuk Dr. Norhafizah Musa bagi mengungkap dengan lebih mendalam mengenai isu ini.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Komunikasi, Jaga Penampilan, Makan & Mandi Bersama Antara Tips Kak KM Kekalkan ‘Spark’ Dalam Rumah Tangga
Pendidikan seksual dari sudut Islam
Mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang motivasi, Ustazah Norhafizah berpendapat kempen ‘Peduli Seks: Tabu Tapi Perlu Tahu’ sangat bagus dianjurkan kerana dapat memupuk sikap tanggungjawab dalam diri masyarakat sekaligus dapat menjamin keselamatan setiap lapisan masyarakat dari segi emosi, mental dan maruah.
Kempen ini sangat bagus untuk dianjurkan kerana ia bukan saja bertujuan untuk memberi kesedaran kepada satu golongan tetapi kepada semua lapisan masyarakat supaya mempunyai rasa bertanggungjawab sekaligus menjamin kehidupan mereka agar lebih selamat hidup di atas dunia ini yang meliputi aspek emosi, mental dan maruah.
Bagi memulakan sesi temu bual, OhBulan! bertanya kepada Ustazah Norhafizah penjelasan mengenai pendidikan seksual dari segi perspektif maqasid syariah.
Menurut Ustazah Norhafizah, pendidikan seksual dari segi perspektif maqasid syariah melibatkan beberapa perkara yang perlu dipelihara oleh orang Islam.
Antara perkara yang ditekankan dalam pendidikan seksual dari perspektif maqasid syariah termasuklah agama, akal, keturunan dan harta.
Bila bercakap tentang pendidikan seksual dari sudut maqasid syariah, ia melibatkan pemeliharaan beberapa perkara iaitu agama, akal, keturunan dan harta. Dari segi agama, ia memang berkait dengan soal halal haram, dosa pahala serta apa yang boleh dan tak boleh dalam syariat. Jadi dari sudut agama, pendidikan seksual ini jelas berkait dengan hukum syariat serta keimanan seseorang.
Sebab itu pendidikan seksual dari sudut agama sangat menekankan mengenai apakah kesan sekiranya tidak menjaga hal-hal berkaitan pendidikan seksual serta kesan apabila terlibat dengan jenayah seksual yang mana secara tak langsung berhubung kait dan keturunan seseorang Muslim. Bila berlakunya isu yang melibatkan jenayah seksual, dari situ akan timbulnya isu anak tak sah taraf, masalah keluarga dan sebagainya.
Dari segi akal pula sebagai contoh isu-isu mereka yang menonton bahan lucah. Dari segi Islam, kalau seseorang itu secara konsisten tengok bahan lucah, ia akan beri kesan dan kerosakan kepada akal. Hilang fokus kepada perkara utama dalam kehidupan dan itu lah realiti yang berlaku ketika ini. Bila banyak tengok benda lucah, belajar pun hilang fokus sebab apa yang kita lihat akan beri kesan kepada otak.
Masuk pula kepada pemeliharaan harta, ia akan mengakibatkan berlakunya pembaziran. Sebagai contoh, bila lahirnya anak tak sah taraf ia akan melibatkan soal pemilikan harta dan sebagainya. Jadi demikianlah serba sedikit pendidikan seksual dari segi maqasid syariah.
OhBulan!: Boleh ustazah terangkan perbezaan pendidikan seksual dari sudut Islam dan Barat?
Ustazah Norhafizah: Pendidikan seksual dari segi Islam ini mempunyai sumber yang jelas iaitu al-Quran, sunnah, hadis dari Nabi Muhammad SAW. Bukan itu sahaja, ia turut bersumberkan ijmak ulamak yang mana sangat jelas dan terang buat tatapan semua masyarakat. Kalau dari segi Barat pula ia lebih banyak berkait dengan masa, lokaliti dan mungkin terdapat perbezaan. Tetapi kalau dari segi Islam, pendidikan seksual ini di mana-mana sekalipun asasnya tetap sama sebab menggunakan rujukan yang sama. Yang kedua, pendidikan seksual dari segi Islam melibatkan syariat Islam di mana adanya hukum harus, wajib, sunat, makruh dan haram. Tapi kalau dalam pendidikan Barat, pendekatannya adalah kepada hubungan seks yang sihat, menjaga keselamatan dari sudut kesihatan tak melibatkan lima hukum itu tadi.
Ketika ditanya mengapa topik pendidikan seksual ini dijadikan sebagai topik tabu dalam kalangan masyarakat Malaysia, pendakwah berusia 48 tahun berpendapat perkataan ‘seksual’ adalah puncanya.
Ustazah Norhafizah turut menyarankan agar penggunaan perkataan ‘pendidikan seksual’ itu ditukar menjadi ‘pendidikan reproduktif’ supaya dapat membuka minda masyarakat untuk mengetengahkan topik ini dalam diri anak-anak mereka.
Pada ustazah, sebab topik ini menjadi tabu adalah kerana perkataan ‘seksual’ yang dianggap sensitif oleh masyarakat kita. Sebagai seorang pendidik, ustazah rasa ada perkataan lain yang boleh menggantikan ‘seksual’ itu dan dalam dapatan ustazah bahawa perkataan yang lebih baik ialah reproduktif.
Bila kita guna perkataan reproduktif jadi pada ustazah orang ramai tak akan jadikan isu ini tabu sebab secara langsung atau tidak langsung, kita dah lalui dah pendidikan seksual sebenarnya.
Cuma itulah mungkin perkataan seksual itu yang membuatkan segelintir masyarakat rasa ia agak sensitif untuk disebut.
Tapi ustazah percaya pendidikan ini adalah usaha untuk mendidik masyarakat supaya faham apa yang dimaksudkan dengan pendidikan seksual ini. Selain itu, ia bertujuan untuk membatasi anak-anak serta memahamkan anak-anak bagi mengelakkan daripada berlakunya seks bebas.
Kepentingan pendidikan seksual bagi kanak-kanak
OhBulan!: Apakah kepentingan mempelajari pendidikan seksual seawal usia kanak-kanak?
Ustazah Norhafizah: Kalau kita tengok sekarang, teknologi hari ini membuatkan semua benda menjadi terlalu pantas dan laju. Apa yang kita boleh lihat ialah pelajar sekolah dah ada gajet dan boleh ‘access’ segala isi kandungan yang ada di media massa dengan mudah. Teknologi ini bermanfaat, ustazah tak kata ia tidak bermanfaat tetapi jangan sampai disalahgunakan. Kalau nak cakap tak boleh mula pendidikan seksual di usia kecil dan perlu didik bila dah umur 20-an bahaya ya sebab takut anak-anak kita explore sesuatu perkara tanpa adanya ilmu di usia mereka yang muda. Jadi, sebab itu pendidikan seksual di peringkat awal kanak-kanak sangat penting dan perlu disampaikan dalam bentuk yang sesuai dan tertib mengikut peringkat umur anak-anak.
Pada pandangan ustazah, bila kita nak sampaikan ilmu tentang pendidikan seksual, antara yang paling penting ialah pendekatan yang dilakukan. Macam mana kita nak sampaikan? Kalau dibuat dalam bentuk lawak jenaka dan gelak ketawa akan lain pula jadinya nanti. Isi kandungan mengenai ilmu pendidikan seksual itu ustazah yakin sudah ada cuma pendekatan, cara dan suasana kita menyampaikan ilmu itu adalah satu perkara yang sangat penting untuk dititikberatkan.
Jadi, sangat penting pendidikan seksual ini diterapkan seawal usia kanak-kanak supaya mereka ada kefahaman dan persediaan mengenai perkara ini. Lagi pula bila kita buat dari peringkat awal ia akan jadi lebih sistematik untuk seseorang itu faham sesuatu perkara mengikut kesesuaian umur kanak-kanak itu sendiri.
OhBulan!: Pada pendapat ustazah, adakah pendidikan seksual berdasarkan Islam wajar diajar di bangku sekolah?
Ustazah Norhafizah: Berdasarkan pengalaman ustazah sewaktu berborak mengenai ilmu pendidikan seksual, ramai yang tanya, ‘Apa itu ilmu pendidikan seksual? Nak ajar tentang apa?’ Di sini kita boleh lihat bahawa ramai orang masih lagi tak nampak apa itu ilmu tentang pendidikan seksual. Tetapi ilmu tentang pendidikan seksual ini sebenarnya telah pun diajar secara tidak langsung sejak di bangku sekolah lagi terutama sekali dalam pendidikan agama Islam. Sebagai contoh soal adab supaya ada rasa malu, soal menjaga maruah diri, menjarakkan hubungan lain jantina yang tidak sama seperti hubungan sesama jantina.
Cuma, macam ustazah cakap tadi mungkin nama ‘pendidikan seksual’ itu agak sensitif dan sukar untuk diselitkan dalam subjek umum seperti pendidikan Islam, moral dan sebagainya. Tetapi, ustazah percaya perkara ini banyak dibincangkan oleh pakar untuk diketengahkan di bangku sekolah.
Secara khususnya ustazah bersetuju jika ilmu tentang pendidikan seksual ini didedahkan dibangku sekolah dan diberikan dengan cara dan penyampaian yang sewajarnya. Segala kandungan mengenai ilmu itu juga perlu disusun sesuai dengan tahap umur serta jelas tujuan dan kepentingannya.
Cara efektif pendedahan pendidikan seksual dalam diri kanak-kanak
OhBulan!: Boleh ustazah terangkan sedikit mengenai tahap pendidikan seksual yang boleh diterapkan dalam Islam?
Ustazah Norhafizah: Dari segi Islam terdapat satu surah yang bernama an-Nur yang memang sepatutnya diajar kepada kaum wanita. Sebab dalam surah itu ada terkandungnya mengenai penjagaan tentang kehormatan diri sebagai satu bentuk pencegahan untuk mengelakkan daripada menjadi mangsa serangan seksual.
Antara benda yang digariskan ialah mengetahui tentang aurat. Jadi bila sampai satu peringkat umur mereka perlu tahu tentang aurat serta batas-batas yang perlu dijaga. Surah itu juga menekankan mengenai isu haid serta perkembangan mengenai biologi yang berlaku seperti perbezaan antara lelaki dan perempuan. Tahu kesan kedatangan haid yang berkait dengan kehamilan dan sebagainya. Perempuan ini ada kemungkinan untuk hamil dan bila melakukan hubungan seksual tanpa ikatan sah boleh terlahirnya anak luar nikah. Itu semua adalah gambaran dan ilmu boleh kita ketengah dan dedahkan lebih awal dari kepada kanak-kanak khususnya perempuan.
Kalau ustazah pula suka mendidik remaja itu dengan cara mengaitkan dengan isu-isu semasa. Daripada isu itu apa yang telah berlaku dan apa pula kesan dari sudut perundangan, sosial, keluarga dan sebagainya. Bila kita kaitkan dengan isu semasa, golongan remaja ini boleh nampak tentang realiti dan implikasi jika tidak menjaga kehormatan diri. Bila dah nampak, mereka akan mempunyai satu ‘rasa’ untuk menjauhkan diri dari perkara-perkara yang boleh mendatangkan implikasi buruk kepada mereka.
Ditanya mengenai apakah cara paling efektif yang boleh dilakukan bagi mengajar dan menerapkan pendidikan seksual dalam kalangan kanak-kanak, Ustazah Norhafizah berkongsi beberapa cara yang boleh dilakukan para ibu bapa di luar sana.
Pertama, ustazah berpandangan pendidikan seksual ini perlu dititikberatkan oleh ibu bapa itu sendiri. Mereka memainkan peranan yang sangat penting terhadap pendedahan kepada anak-anak. Kemudian barulah boleh kita bercakap mengenai pihak ketiga seperti sekolah, guru dan masyarakat.
Cara paling efektif ialah melalui hubungan kekeluargaan antara ibu ayah dan anak-anak. Contoh, mak ayah perlu perkenalkan anak-anak dari peringkat umur satu hingga empat tentang tubuh badan mereka. Ada juga pandangan yang mengatakan ibu bapa perlulah menggunakan istilah yang tepat untuk tubuh badan termasuklah bahagian-bahagian sulit.
Jadi anak-anak kecil kena tahu daripada peringkat awal bahagian mana yang tak boleh disentuh, malu untuk ditonjolkan, tak boleh bagi orang tengok. Jadi bila dia dah masuk sekolah dia dah ada rasa malu dengan lain jantina. Itu semua bermula dari rumah yang merupakan sebahagian daripada pendidikan seksual.
Anak-anak ini terdidik daripada kebiasaan serta didikan yang menjadi rutin di rumah. Sebagai contoh juga bila keluar sesuatu yang menjolok mata di skrin televisyen, kita didik pula mereka tentang apa yang patut dan tak patut mereka lihat.
Dan ini adalah permulaan pendidikan seksual yang harus dimainkan daripada peringkat awal kanak-kanak sehinggalah mereka membesar.
Sekadar info, kempen ‘Peduli Seks: Tabu Tapi Perlu Tahu’, yang bermula 1 November hingga 30 November ini adalah bertujuan untuk memupuk pemahaman dan keterbukaan mengenai isu-isu seksualiti, terutamanya dalam kalangan komuniti Melayu.
Sebuah mikrosite khas di says.com/peduliseks disediakan yang akan bertindak sebagai pusat digital kempen ini. Laman tersebut akan mengandungi pelbagai maklumat kempen, termasuk ruang untuk berkongsi cerita secara anonim dan kerjasama dengan NGO yang berkaitan.
Dengan hashtag #PeduliSeks, kempen ini juga akan memanfaatkan platform media sosial bagi meningkatkan interaksi dan menjangkau lebih ramai masyarakat.