berita

[VIDEO] Penghantar Makanan Maut Dihempap Pokok Tumbang

April 16th, 2021 | by Shahira
Kini Trending

Seorang penunggang motosikal maut selepas dihempap dahan pokok yang tumbang akibat ribut berhampiran Petronas Alam Damai, Cheras, petang semalam. Difahamkan, mangsa yang juga bertugas sebagai seorang penghantar makanan itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Rider maut dihempap pokok

Foto: Kosmo

Memetik laporan Bernama, kejadian cemas itu dipercayai berlaku semasa mangsa yang dikenali dengan nama Syed Izat Izzudin dalam perjalanan dari Jalan Damai Jasa menghala ke Taman Len Seng. Namun secara tiba-tiba dahan pokok tersebut telah menghempap mangsa.

Berikutan daripada itu, mangsa yang berusia 20 tahun telah terperangkap di bawah dahan pokok sebelum berjaya dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba dan orang ramai. Menurut, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia untuk dibedah siasat.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Cheras memaklumkan terdapat beberapa lokasi lain yang terjejas akibat pokok tumbang antaranya adalah di Petronas Alam Damai, Taman Len Sen di Cheras, Jalan 4/27A Seksyen 2 di Wangsa Maju, Jalan Pantai Murni di Pantai Dalam, Jalan Sultan Salahuddin di Kampung Padang Merbok, Jalan Melati dan Lebuhraya MRR2 di Hulu Klang.

Video kejadian


Sumber: Bernama, Kosmo Online

SKIP THIS AD ×