Liana Rosli atau lebih dikenali sebagai Kak KM merupakan seorang usahawan dan pempengaruh sensasi di Malaysia. Anak kepada pelakon veteran, Normah Damanhuri ini telah mendirikan rumah bersama suami, Razman Ramli dan dikurniakan empat cahaya mata sepanjang 22 tahun usia perkahwinan mereka.
Bersempena dengan kempen ‘Peduli Seks: Tabu Tapi Perlu Tahu’, OhBulan! menemu bual Kak KM bertanyakan pandangannya berkaitan tips mengekalkan ‘spark’ bersama suami.
Artikel Berkaitan: Peduli Seks: Sasarkan 100,000 Kanak-Kanak, Spot Community Project Jalin Kerjasama Dengan OhBulan! & Seismik Di Roadshow Sekolah
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Komunikasi, Jaga Penampilan, Makan & Mandi Bersama Antara Tips Kak KM Kekalkan ‘Spark’ Dalam Rumah Tangga
Anak adalah ‘spark’ dalam rumah tangga
Kak KM berpendapat bahawa kehadiran cahaya mata merupakan penyeri dalam rumah tangga dan antara faktor hubungan suami isteri kekal bahagia.
Ibu kepada empat orang anak ini mengakui setiap pasangan yang berkahwin pasti mengimpikan zuriat namun tak dinafikan ada juga yang mengamalkan konsep ‘childfree.’
Rezeki nak kaya kau kena beranak. Kau tumpang rezeki anak. Tapi terpulang kepada setiap pasangan yang dah kahwin. Dalam satu perkahwinan anak bukan wajib. Tak ada yang kata kahwin kena mengandung.
Macam saya kahwin memang nak ada anak. Saya suka budak. Bagi yang childfree ini terpulang kepada mereka sebab kita tak tahu ekonomi mereka macam mana.
Anak itu rezeki, amanah buat suami isteri
Dalam pada itu, OhBulan! sempat bertanya kepada Kak KM adakah topik seks perlu dibincangkan sebelum pasangan itu mendirikan rumah tangga.
Anak kepada pelakon veteran, Normah Damanhuri memberitahu bahawa pasangan yang akan berkahwin sememangnya sudah sedia maklum dengan perkara tersebut (seks).
OhBulan!: Penting tak perbincangan sebelum kahwin, terutamanya soal anak?
Kak KM: Waktu nak kahwin kami tak cerita pasal anak. Tahu nak seronok sahaja. Tiba-tiba ada rezeki anak selepas itu. Tak pernah berbincang dan ikut pada rezeki. Suami pun ikut sahaja, kalau mengandung, mengandung la. Bila anak dah banyak kena kerja lebih sikit.
OhBulan!: Komen mengenai kena pisahkan tempat tidur anak-anak?
Kak KM: Itu kena sebab bila kita tidur dengan anak kita, hubungan dengan suami akan jadi renggang. Bila anak kecil okay. Bila dah pandai bercakap dan berjalan kena asing. Macam saya memang dah asingkan tempat tidur anak-anak sebab anak saya ada perempuan dan lelaki. Masa sekolah rendah semua dah duduk bilik masing-masing.
Jaga perangai, jangan rendahkan pasangan
Sementara itu, Kak KM yang sudah mendirikan rumah tangga selama 22 tahun menasihati pasangan suami isteri agar menjaga sikap dan perangai masing-masing untuk mengekalkan kebahagiaan hubungan.
Tak berani bagi nasihat, sebab kita tak tahu nasib kita esok lusa. kekalkan apa yang kau buat waktu berkawan dan bercinta. Kalau tak buat benda tu akan hambar, bila makin tua semua akan susut dan jatuh. Badan jatuh nombor dua, perangai kena jaga. Jadi kekal bawa sampai ke tua.
Hubungan dalam rumah tangga bukan seronok sangat. Bila kahwin, masalah dan ujian pasti akan datang. Tapi kunci utama kena sabar, jangan kurang ajar. Suami pula jangan cakap lebih kurang, jangan menipu, menghina atau merendahkan pasangan.
Waktu nak kahwin dulu dia miskin kau nak, lepas kahwin kau rendahkan.
OhBulan!: Kak KM nak bagi anak kahwin pada usia bila?
Kak KM: Sabar dulu jangan kahwin, habis belajar kena kerja dulu. Macam Nabila (anak sulung), habis belajar saya suruh dia kerja ambil pengalaman setahun dua baru kahwin. Kita tahu anak kita macam mana, kau belajar dulu.
Apabila ditanya mengenai kriteria bakal menantu, Kak KM mahu anaknya mencari lelaki yang mempunyai kerja tetap dan mampu menanggung keperluan isteri.
Kena kerja tetap supaya anak kita tak susah. Saya ramai anak perempuan, anak kita duduk dengan kita mewah. Harap kahwin tak lah susah, sampai hati ke kita nak tengok mereka hidup susah.
Kalau dapat biasa-biasa tak payah. Sebab itu saya suruh dia kerja, perempuan kena ada duit sendiri. Jangan tunggu duit suami, esok jadi apa-apa kau ada rumah dan duit sendiri.
Saya memang akan sekolahkan anak-anak awal sebab perkahwinan ni satu perjudian. Jodoh panjang Alhamdulillah, pendek kau nak cakap apa.
Di akhir temu bual, Kak KM berpendapat bahawa kempen berkaitan kesedaran dan pendidikan seks adalah sangat penting untuk diketengahkan kerana dapat membendung daripada berlakunya gejala sosial melibatkan generasi muda.
Video
Kempen ‘Kesedaran Seks: Tabu Tapi Perlu Tahu’, yang bermula 1 November hingga 30 November ini bertujuan memupuk pemahaman dan keterbukaan mengenai isu-isu seksualiti, terutamanya dalam kalangan komuniti Melayu.
Sebuah mikrosite khas di says.com/peduliseks disediakan yang akan bertindak sebagai pusat digital kempen ini. Laman tersebut akan mengandungi pelbagai maklumat kempen, termasuk ruang untuk berkongsi cerita secara anonim dan kerjasama dengan NGO yang berkaitan.
Dengan hashtag #PeduliSeks, kempen ini juga akan memanfaatkan platform media sosial bagi meningkatkan interaksi dan menjangkau lebih ramai masyarakat.