Sejak kebelakangan ini, kes rogol dan cabul dalam kalangan kanak-kanak dilihat semakin menjadi-jadi. Tindakan tidak bertanggungjawab golongan ini turut meninggalkan kesan negatif terhadap mangsa sehingga menjadikan mereka trauma seumur hidup.
Terbaru, seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun telah dicabul oleh seorang lelaki yang tidak dikenalinya. Aksi jijik lelaki tersebut diketahui umum selepas rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) tersebut viral di media sosial.
Tangkap dan peluk mangsa
https://www.facebook.com/inforoadblockjpjpolis/videos/2439041053029137/
Menerusi laporan Astro Awani, kejadian cabul kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun itu dkatakan telah berlaku pada 13 Disember lalu di tandas Surau Al Ikhlas Zon Mawar. Video berdurasi 1:39 saat itu telah viral di media sosial sehingga menimbulkan kemarahan dalam kalangan netizen.
Tindakan keji lelaki itu sempat dirakam CCTV yang menunjukkan suspek cuba memanggil dua orang kanak-kanak perempuan untuk masuk ke dalam tandas tersebut kononnya ingin menunjukkan sesuatu kepada mereka. Tetapi lain pula yang jadinya apabila suspek kemudian bertindak menangkap serta memeluk salah seorang daripada mereka dari arah belakang sebelum menyentuh alat sulit mangsa.
Suspek masih diburu
Bapa mangsa walau bagaimanapun telah membuat laporan polis berhubung dengan kejadian itu sebaik sahaja selepas dia menerima salinan rakaman CCTV yang terdapat di surau terbabit. Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Supritenden Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan tersebut pada 18 Disember yang lalu.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.30 petang, mangsa bersama sepupunya sedang bermain di taman permainan bersebelahan surau berkenaan.
Suspek bertindak memanggil mangsa ke tandas surau sebelum memeluk dan memegang kemaluan mangsa. Kemudiannya, mangsa bertindak memaklumkan kejadian itu kepada bapanya. Ekoran itu bapa mangsa meminta bantuan pihak surau bagi memeriksa CCTV di surau terbabit.
Pihak polis kini sedang menjalankan siasatan bagi mengesan suspek. Sementara itu, pihak polis turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian dengan memaklumkannya ke Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda atau mana-mana balai polis berhampiran atau melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).
Sumber: Astro Awani, Harian Metro, Facebook