berita

[VIDEO] ‘Race’ Kereta Punya Hal, Anak 3 Tahun Meninggal Dunia, Isteri Koma Berbulan-Bulan

November 4th, 2020 | by Shahira
Kini Trending

Seorang bapa yang dikenali dengan nama Israr Mohammed telah dijatuhi hukuman penjara selama empat tahun setengah selepas didapati bersalah memandu dengan berbahaya sehingga menyebabkan anak lelakinya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

Menurut sumber, kemalangan ngeri tersebut berlaku pada 1 Julai 2018 yang lalu di East Yorkshire, England tetapi hukuman penjara baru sahaja dilaksanakan ke atas kedua-dua pesalah.

Lumba kereta atas jalan raya

Menerusi laporan yang dipetik daripada Daily Mail, bapa yang berusia 41 tahun itu telah memandu kereta jenis Honda Civic dengan kelajuan melebihi 100km/j sehingga menyebabkan kenderaannya itu hilang kawalan ketika sedang berlumba dengan pemandu lain, Adam Molloy.

Kedua-dua kereta tersebut dipandu laju dengan jarak lebih kurang 10 meter sahaja. Apa yang tidak disangka-sangka, Israr tanpa rasa bimbang memandu dengan berbahaya walaupun pada ketika itu isteri dan anak-anak turut berada di dalam kereta terbabit.

Kereta berpusing, langgar pokok


Berdasarkan laporan media tempatan, kenderaan milik Adam Molloy telah mengekori kenderaan Israr di lorong M62 berhampiran Goole, East Yorkshire sehingga menyebabkan kereta Israr berpusing berkali-kali sebelum melanggar sebatang pokok.

Lebih mengejutkan apabila Adam yang terselamat dari kemalangan ngeri itu telah memandu laju untuk melarikan diri. Walaupun begitu, pihak polis akhirnya berjaya menjejaki Adam hasil daripada rakaman dashcam yang diperolehi.

Anak bongsu meninggal dunia

Susulan daripada insiden itu, anak bongsu Israr iaitu Say Han berusia tiga tahun yang berada di kerusi kanak-kanak di tempat duduk belakang mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian. Selain itu, anak perempuannya yang berusia 11 tahun mengalami kecederaan di muka manakala anak lelakinya berusia lapan tahun tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Sementara isterinya, Safeena yang berada di tempat duduk hadapan mengalami kecederaan otak dan terlantar koma di hospital selama beberapa bulan. Difahamkan, Safeena masih belum pulih sepenuhnya dan kini berada dalam keadaan kemurungan.

Kedua-dua mereka didapati bersalah kerana memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian. Hakim David Tremberg telah menjatuhkan hukuman penjara selama empat tahun setengah ke atas Israr Mohammed dan Adam Molly selain mereka ‘diharamkan’ memandu selama enam tahun tiga bulan.

Sumber: Daily Mail, Metro UK

SKIP THIS AD ×