Foto: The Sun
Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dilaporkan maut selepas tergelincir dari tempat duduknya ketika menaiki permainan ‘Free Fall’ di sebuah taman tema di Florida, Amerika Syarikat.
Maut terjatuh dari permainan taman tema
Foto: The Sun
Memetik laporan Daily Mail, mangsa yang dikenali dengan nama Tyre Sampson bersama keluarga rakannya telah bercuti ke taman teman tersebut pada 24 Mac yang lalu. Namun siapa sangka percutian tersebut akhirnya bertukar menjadi satu insiden tragis.
Difahamkan, insiden cemas yang menimpa Tyre dipercayai berpunca daripada peralatan keselamatan yang digunakan mangsa. Abah-abah keselamatan di tempat duduk Tyre kemungkinan tidak dipasang dengan betul sebelum permainan Free Fall itu dimulakan. Menurut sumber, beberapa saat sebelum permainan dimulakan, Tyre dan pengunjung lain dimaklumkan bahawa Free Fall tidak menyediakan tali pinggang keselamatan.
Satu-satunya cara untuk menghalang mereka terjatuh dari tempat duduk adalah menggunakan abah-abah plastik yang ditarik ke bawah bagi memastikan pengunjung kekal berada di kerusi masing-masing. Saat permainan itu dimulakan, Tyre merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan peralatan keselamatan yang dipakainya. Bukan itu sahaja, dia juga merasakan seperti permainan itu sedang ‘bergerak’.
Mangsa yang berada dalam keadaan panik kemudian mengatakan kepada rakan yang duduk disebelahnya sekiranya dia tidak berjaya turun dengan selamat, dia meminta rakannya itu memberitahu ibu bapanya bahawa dia sangat menyayangi mereka.
Kalau saya tak berjaya turun, tolong beritahu mama dan daddy bahawa saya sayang mereka.
Disahkan meninggal dunia
Foto: The Sun
Video yang dikongsikan menunjukkan Tyre tergelincir dari tempat duduknya dan terjatuh ke tanah sebaik saja permainan itu menjunam ke bawah dengan kelajuan 75 kilometer per jam. Susulan daripada itu, Perkhidmatan Kecemasan bergegas ke taman tema tersebut selepas mendapat panggilan berhubung kejadian itu. Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di hospital akibat kecederaan parah.
Bapa mangsa iaitu Sampson memaklumkan bahawa anak lelakinya itu memiliki berat hampir 154kg dan kebanyakan pekerja di taman teman tersebut tidak membenarkan Tyre menaiki permainan di situ disebabkan saiz tubuhnya yang agak besar. Oleh itu, dia agak pelik bagaimana pekerja di bahagian Free Fall membenarkan anak lelakinya itu menaiki permainan tersebut. Pihak taman tema berkenaan masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kejadian itu.
Difahamkan, siasatan lanjut berhubung kes ini masih dijalankan dan pihak taman tema terbabit memberi jaminan bahawa mereka akan bekerjasama sepenuhnya dalam siasatan yang dijalankan.
Video
Sumber: Daily Mail, Youtube, New York Post, The Sun