Pelakon dan pengacara popular, Roslan Shah tampil menjelaskan keadaan usahawan Datuk Seri Vida (DSV) yang didakwa mengalami gangguan ketika sesi Night Walk.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Roslan Shah Doa Yang Terbaik Buat Vida & Fazley Yaakob – ‘Tak Timbul Soal Rampas-Merampas’

Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Selepas Bergambar Dengan Saya, Tiba-Tiba Dia Pengsan’ – Roslan Shah

Syukur ada Fazley

Menurut Roslan atau lebih mesra disapa Cik Lan, dia bersyukur dengan kehadiran penyanyi dan cef selebriti, Fazley Yaakob yang banyak membantu meredakan keadaan berbekalkan ilmu agama yang dimilikinya.

Nasib baik malam itu ada Fazley. Dia ada sedikit ilmu agama dan tahu apa yang perlu dilakukan ketika berdepan keadaan seperti itu. Alhamdulillah semuanya dapat dikawal dan DSV pun kembali okey.

Tambah Cik Lan, kejadian berkenaan merupakan pengalaman pertama buatnya sepanjang mengendalikan sesi Night Walk bersama tetamu jemputan.

Susulan kejadian tersebut, Cik Lan mengambil keputusan untuk menghentikan sesi penggambaran Night Walk bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.

Saya memang tak sangka sebab selama buat Night Walk, ini pertama kali tetamu saya mengalami gangguan sampai kami terpaksa berhenti. Sejujurnya, saya sendiri rasa agak tak sedap hati sebelum Night Walk bermula dan ada momen yang membuatkan bulu roma saya naik.

Tapi saya kuatkan hati dan tetap mulakan program seperti dirancang. Pada mulanya okey saja tapi tiba-tiba DSV rasa kurang selesa dan hampir nak pengsan. Jadi kami tak mahu ambil risiko dan terus hentikan sesi malam itu.

Hanya sekadar program hiburan

Mengulas lanjut mengenai sesi Night Walk, Cik Lan menegaskan bahawa program berkenaan hanyalah aktiviti santai yang menggabungkan aktiviti berjalan pada waktu malam dengan elemen-elemen hiburan.

Selain itu, Cik Lan memaklumkan sambutan yang menggalakkan daripada peminat turut mendorongnya untuk meneruskan penggambaran selain mendapat sokongan penaja dan berpotensi diperluaskan ke luar Singapura.

Night Walk ini bukan memuja atau memanggil hantu. Kami hanya bersantai dan menghasilkan kandungan untuk menghiburkan peminat. Kami bawa makanan, ada tema pakaian dan selebihnya banyak kepada lawak spontan.

Ramai peminat minta saya buat produksi sendiri dan akhirnya terlaksana.

Alhamdulillah, sekarang Night Walk sudah lebih tiga bulan bersiaran di YouTube menerusi Adik Adik Entertainment.

Ada pihak penaja yang mengajak produksi saya buat di Malaysia, Brunei dan Indonesia. Kalau semuanya dipermudahkan, insya-Allah kita akan bawa Night Walk ke sana pula.