Senaskah al-Quran dan tasbih ditemui terselamat dalam kejadian kebakaran membabitkan sebuah rumah yang hangus sepenuhnya di Kampung Batu Satu, Batu Gajah, Perak pada malam Ahad.
Al-Quran dan tasbih masih ‘sempurna’
Dalam kejadian kira-kira 10:50 malam itu, kesemua tiga orang penghuni yang terdiri daripada seorang wanita, Aini Hayati, menantu, Mohd Shaifullah dan cucunya, Umar Daiyan yang berusia empat tahun bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri dan hanya mengalami kecederaan ringan.
Ketika ditemui OhBulan!, anak mangsa (Aini Hayati) iaitu Nur Iedayu Rozali berkata, kebakaran tersebut dipercayai berpunca daripada masalah litar pintas di ruang tamu namun laporan penuh berhubung insiden masih dalam siasatan.
Menceritakan semula insiden itu, ketika kejadian, mangsa berada di ruangan bilik di bahagian dapur manakala menantu dan cucunya berada di bilik tidur berdekatan ruang tamu.
Masa mak dalam bilik, dia terdengar bunyi bising (suara orang). Mak keluar bilik kemudian nampak kepulan asap dan api mula marak dan memenuhi ruang tamu. Waktu itu, bahagian dapur masih belum dijilat api. Mak terus pergi ke bilik tidur dan selamatkan mereka berdua.
Mak yang dalam keadaan panik ketika itu telah mencari kunci dan berjaya membuka pintu.
Tambah Iedayu lagi, mereka tidak menyangka al-Quran, wang dan barang kemas yang disimpan bersama tasbih tidak ‘terusik’ dan masih dalam keadaan sempurna meskipun rumah musnah 100 peratus dijilat api.
Difahamkan, kebakaran berjaya dikawal hampir 60 minit dan punca kejadian serta nilai kerugian masih dalam siasatan.