Pereka fesyen terkenal, Razmi mengakui sangat terkejut, trauma dan takut berikutan insiden dipukul, pada Rabu malam.
Artikel Berkaitan: Razmi Akui Hutang Punca Diserang, Dakwa Jurugambar Setuju Terima Bayaran Secara Ansuran – ‘Janganlah Buat Wajah Orang Macam Ini’
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Vida Trauma Lihat Pereka Fesyen Dipuk*l Jurugambar – ‘Saya Ingatkan Itu Hanyalah Gurauan’
Saya trauma
Menerusi temu bual secara eksklusif bersama OhBulan!, Razmi berkata, dia tidak menyangka kejadian itu akan berlaku terutama di majlis yang dihadiri ramai golongan kenamaan.
Insiden yang berlaku beri kesan yang sangat mendalam terhadap diri saya. Selepas Razman kena tumbuk dan dia baling kamera dekat muka saya, saya jadi pening. Darah mengalir keluar. Saya terus ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
Selepas itu kami ke balai polis untuk membuat laporan. Sampai ke Subuh baru selesai semua urusan. Saya tidur beberapa jam sahaja dan kemudian bangun semula untuk memberi keterangan kepada inspektor yang hadir di tempat saya menginap.
Disoal mengenai kecederaan pada bahagian wajah, Razmi memberitahu dia menerima dua jahitan di bahagian pipi.
Saya kena jahit dekat bahagian pipi. Bahagian bibir pula saya dapat surat rawatan susulan. Setakat ini saya boleh makan bubur sahaja. Itupun sakit.
Berbicara lebih lanjut, Razmi tidak menyangka jurugambar itu tergamak mencederakan wajahnya.
Kalau dekat bahagian tubuh tak apa lagi. Bila kena dekat muka, saya terpaksa tolak beberapa undangan seperti menghadiri rancangan televisyen. Insiden ini benar-benar beri kesan dekat saya. Pada mulanya saya tak nak bagi apa-apa kenyataan. Memandangkan kejadian itu berlaku di tempat ramai orang, saya terpaksa bercakap. Ramai golongan kenamaan telefon dan tanya keadaan saya.
Di akhir temu bual, Razmi menyerahkan isu ini kepada pihak berkuasa dan mahkamah.
Saya tunggu keputusan mahkamah. Sekiranya perlu lantik peguam, kami akan berbuat demikian.
Terdahulu, Razman dan Razmi diserang seorang jurugambar dalam satu majlis yang diadakan di sebuah hotel mewah di Petaling Jaya.