Susulan terpalit kes sindiket syarikat pengurusan kewangan, penyanyi Ziana Zain menegaskan dia bukanlah suspek namun hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini hanya untuk membantu siasatan.
Artikel Berkaitan: Kes Sindiket Pengurusan Wang: Ziana Zain, Jalaluddin Hassan & Sheikh Muszaphar Shukor Hadir Di SPRM Beri Keterangan
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Didakwa Bakal Dipanggil SPRM, Ziana Zain Enggan Beri Komen – ‘Kak Gee Hanya Menyanyi Je, Sayang’
Bantu siasatan
Ketika ditemui OhBulan!, Zaina atau nama lengkapnya Siti Roziana Zain menjelaskan bahawa dia hadir di SPRM selama tiga jam bagi memberi keterangan berhubung kes tersebut.
Tak ada apa-apa pun, saya hadir hanya untuk membantu siasatan. Mereka bertanya kepada saya berapa lama saya mengenali pihak syarikat tersebut.
Saya katakan kepada mereka, saya cuma duta, menyanyi dan selebihnya kami hanya berbual.
Saya tidak risau kerana saya dipanggil untuk membantu siasatan dan bukanlah suspek. Alhamdulillah, kami sudah pun selesai tetapi siasatan untuk yang lain saya tidak tahu.
Ziana berkata demikian ketika ditemui seusai selesai program Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) yang berlangsung di Studio NTV7, Glenmarie pada Ahad.
Tak jejas karier
Dalam pada itu, penyanyi berusia 57 tahun tersebut menolak dakwaan telah menerima bayaran sehingga ratusan ribu ringgit.
Ramai duta, jadi perbelanjaan pun akan banyak dan bukanlah kita dapat kesemuanya.
Ini pertama kali saya menjadi duta, kata orang, dalam banyak-banyak kadang-kadang mungkin ada yang bermasalah.
Walau bagaimanapun, kes berkenaan tidak menjejaskan kerjaya pelantun lagu Madah Berhelah itu meskipun namanya terpalit bersama.
Mereka pun masih di dalam siasatan jadi tidak boleh sebarangan menuduh.
Perkara ini tidak mengganggu karier seni saya sebab saya tidak melakukan kesalahan malah hanya melaksanakan tugas sahaja iaitu sebagai duta.
Khamis lalu Ziana bersama dua selebriti tanah air iaitu Datuk Jalaluddin Hassan dan Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor hadir ke ibu pejabat SPRM bagi memberi keterangan berhubung kes berkenaan.
Siasatan berkenaan dilakukan susulan penahanan sekurang-kurangnya 27 individu termasuk lapan pengarah syarikat dan 18 pegawai bank oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) dalam Ops Sky hasil kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM).
Difahamkan kesemua selebriti terbabit dilaporkan menerima bayaran sekitar RM150,000 hingga RM400,000 daripada syarikat terbabit yang bertindak sebagai duta.
Lebih mengejutkan apabila hasil siasatan SPRM turut mendapati sindiket itu turut melabur sejumlah wang yang besar bagi penciptaan lagu membabitkan penyanyi tersohor negara.