Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mencuri perhatian apabila membuat pendedahan mengenai Anugerah Artis Serantau Paling Popular (AASPP) yang pernah dimenanginya di Anugerah Planet Muzik (APM) pada tahun 2011 lalu.
Artikel Berkaitan: Ezuwan Ismail Cabar Diri Buat Busana Tradisional, Kagum Dengan Cara Kerja Siti Nurhaliza – ‘Bukan Senang Nak Dapat Pujian Datuk K’
Tak dibenarkan bertanding
@sitinurhalizagallery Satu – satunya artis yang tidak dibenarkan bertanding #sitinurhaliza ? original sound – sitinurhalizagallery
Menerusi potongan video dimuat naik @sitinurhalizagallery di TikTok, pemilik nama Siti Nurhaliza Tarudin ini mendedahkan bahawa dirinya tidak dibenarkan bertanding lagi bagi anugerah tersebut selepas memenanginya selama 10 tahun berturut.
Saya tak dibenarkan ya bertanding lagi dalam kategori AASPP selepas saya memenangi (kategori) tersebut secara berturut-turut.
Potongan video itu dipercayai diambil ketika Siti mengadakan Konsert Fenomena: Siti Nurhaliza Live In Singapore 2024 pada 28 dan 29 Jun lalu.
Tambah Siti, dia sama sekali tidak berkecil hati dengan pengumuman itu sebaliknya menerima dengan lapang dada.
Saya tak pernah rasa pun kecil hati atau berasa tidak adil sebab pada saya, saya dah kumpul banyak kenangan manis dalam pertandingan tersebut.
Dan saya menerimanya dengan lapang dada bila mereka kata, ‘Tokti tak perlu masuk dah lah ya’. Itulah memori.
Bukan itu sahaja, terdapat juga potongan video memaparkan penyampai anugerah bagi kategori tersebut yang menabalkan Siti sebagai Artis Serantau Paling Popular (ASPP) selama lebih sedekad selepas mengumumkan untuk tidak membenarkan pelantun lagu ‘Hati Kama’ itu bertanding lagi dalam kategori itu pada edisi akan datang.
Agak istimewa kerana penerima anugerah ini telah memenangi anugerah ini selama 10 tahun berturut-turut dan popularitinya jelas tiada tandingan.
Jadi, kami di APM tidak akan mencalonkan beliau dalam kategori ini pada edisi yang akan datang.
Malam ini juga, kami bukan sahaja akan memberikan beliau anugerah ini malah akan menabalkan beliau sebagai (ASPP) selama lebih sedekad.
Hadiri sekalian, tepukan paling gemuruh, Siti Nurhaliza.
Sekadar info, Siti merupakan penyanyi paling berjaya selepas memenangi lebih 300 anugerah di dalam mahupun luar negara.
Antara pencampaian Siti ialah, beliau telah memenangi AASPP di APM selama 10 tahun berturut-turut dari tahun 2002 hingga tahun 2011.
Selain itu, Siti turut dinobatkan sebagai Artis Paling Popular Berita Harian (ABPBH) selama lima tahun berturut-turut dari tahun 1997 hingga tahun 2001.